Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merobohkan 30 struktur rumah yang dibina secara haram di kawasan tanah milik kerajaan dalam satu operasi perobohan di Jalan Pinggir 1 dan 2 di Jalan Istana, di sini, kelmarin.
Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Penguat Kuasa DBKK Inspektor Mohd Romzi Musa berkata tindakan itu dilaksanakan selepas pihaknya memberikan arahan perobohan terhadap 30 struktur rumah sejak tahun lalu.
Katanya DBKK sudah memberikan arahan perobohan pada 15 Februari tahun lalu dan pihak Jurutera Bahagian/Pantai Barat Tengah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Kinabalu turut mengeluarkan notis pengosongan pada 17 Februari 2016.
“Dalam tempoh notis itu dikeluarkan, pihak DBKK menerima rayuan daripada penduduk penempatan setinggan itu agar operasi perobohan ditangguhkan selama tempoh 30 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
“DBKK turut dimaklumkan bahawa penduduk ada membuat rayuan bagi mendapatkan penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambahnya, dalam operasi kelmarin, pihaknya turut mendapati penduduk masih cuba membuat rayuan dengan menghubungi mana-mana jabatan berkaitan. Bagaimanapun, kata Romzi, sehingga kini rayuan berkenaan tidak mendapat sebarang maklum balas, menyebabkan pihaknya terpaksa melaksanakan operasi perobohan selepas mendapat arahan daripada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai.
“Kita terpaksa mengambil tindakan tegas untuk merobohkan struktur rumah yang tidak mendapat kelulusan daripada DBKK dan pihak berkuasa tempatan khususnya,” katanya sambil menambah, operasi dijalankan seramai 25 anggota termasuk Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Air Negeri Sabah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, wakil penduduk Jobi Mojito, 60, berkata beliau kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang tidak mengendahkan rayuan mereka agar tindakan perobohan ditangguhkan sehingga mereka mempunyai tempat tinggal baharu.
Katanya penduduk di kawasan setinggan Jalan Pinggir sudah dimaklumkan berkenaan penempatan PPR yang sudah mencapai proses pembinaan sebanyak 95 peratus. “Rata-rata penduduk yang menetap di sini adalah warganegara tempatan berbangsa Rungus, Dusun dan Murut yang datang dari beberapa daerah termasuk Kudat, Pitas, Tandek, Kota Marudu, Kota Belud dan Keningau.
“Kami dimaklumkan bahawa kira-kira 60 penduduk di sini akan ditempatkan di PPR Minintod Penampang di mana keadaan rumah di sana sudah hampir siap dan boleh didiami beberapa minggu akan datang.
“Penduduk di sini, bagaimanapun, kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang tidak prihatin dan enggan bertolak ansur terhadap keadaan kami yang tidak mempunyai tempat tinggal lain sementara menunggu ditempatkan di rumah baharu.
“Jika rumah kami dirobohkan dalam tempoh itu, di manakah kami ingin berteduh lebih-lebih lagi kepada keluarga yang mempunyai anak kecil serta berhadapan musim tengkujuh pada masa ini,” katanya.
Katanya mereka tidak dapat berbuat apa-apa berikutan berhadapan masalah ekonomi, tambahan pula kebanyakan penduduk datang dari golongan berpendapatan rendah. Oleh itu, beliau mengharapkan agar masalah yang dihadapi mereka itu mendapat perhatian mana-mana pihak dan bantuan dapat disalurkan segera bagi meringankan beban yang ditanggung.
0 comments:
Post a Comment