"Hari ini apabila Singapura mengumumkan mereka mahu mengikut jejak langkah Malaysia berhubung caj jalan raya, kami ingin mereka tahu bahawa kami sebenarnya berbeza namun kami hormati keputusan mereka."
Itulah reaksi pertama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung cadangan Singapura yang memperkenalkan Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) kepada semua kenderaan yang berdaftar di luar negara itu mulai 15 Februari depan.
Katanya, itu adalah hak kerajaan Singapura walaupun kerajaan Malaysia akan terus berbincang dengan kerajaan Singapura berhubung keputusannya sebagai timbal balas terhadap Caj Jalan Raya Malaysia sebanyak RM20 bagi sekali masuk yang dikenakan terhadap kereta yang memasuki Johor mulai 1 November 2016.
Ujarnya lagi, Singapura telah memperkenalkan Permit Masuk Kenderaan (VEP) pada 1973 dan Malaysia tidak membalasnya. Namun kemudian, Malaysia berpendapat kita perlu memperkenalkan caj jalan raya di mana pada 1 November lalu, Malaysia akhirnya telah menguatkuasakan caj kemasukan kenderaan asing yang melalui Tambak Johor.
Tambah beliau, VEP yang diperkenalkan oleh Malaysia hanya memerlukan pemilik kenderaan asing untuk membayar yuran pendaftaran sebanyak RM10 selama lima tahun. Berbanding kerajaan Singapura, mereka akan menguatkuasakan caj sebanyak RM 20 setiap kali kenderaan yang di daftarkan di negara ini memasuki Singapura.
Dalam membicarakan hal VEP ini, Datuk Seri Liow berkata, tiada diskriminasi ke atas kenderaan Singapura seperti didakwa sesetengah pihak, memandangkan caj yang sama juga akan dilaksanakan di sempadan Thailand, Brunei dan Indonesia.
Sebelum ini, Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) hari ini mengumumkan semua kereta yang berdaftar di luar negara perlu membayar RRC sebanyak S$6.40 setiap kali memasuki republik itu sama ada melalui Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands.
Menurut LTA, RRC itu akan dikutip bersama-sama VEP, bayaran tol dan bayaran tetap Kadar Bayaran Elektronik (ERP) sebelum meninggalkan Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands.
0 comments:
Post a Comment