Malam ini, JDT akan turun membuat perhitungan dengan Bangkok United pada pusingan kelayakan kedua ACL 2017 di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand. Sasaran mereka adalah untuk melepasi kelayakan kedua ini selepas terkandas pada pusingan yang sama dua tahun berturut-turut iaitu musim 2015 dan 2016.
Pada dua edisi tersebut, hajat JDT disekat oleh kelab Thailand iaitu Bangkok Glass pada musim 2015 dan Muangthung United (2016). Tahun ini mereka turut berdepan kelab Thailand (Bangkok United) dan sudah pasti mereka tidak rela episod lalu berulang.
Kini, juara Piala AFC 2015 itu memiliki peluang ketiga untuk menebus kembali maruah mereka di negara Gajah Perang itu malam ini, dan berdasarkan prestasi semasa, peluang kedua-dua pasukan nampak seimbang.
“Perubahan taktikal pasti akan membantu JDT pada perlawanan di tempat lawan nanti. Benjamin Mora tentu mempunyai ramuannya tersendiri untuk menjinakkan pasukan lawan.
"Barisan pemain juga telah melakukan persediaan mental dan fizikal selain sokongan padu para penyokong Harimau Selatan yang akan membantu memberi semangat tambahan dalam misi melangkah jauh pada saingan peringkat tertinggi Asia ini,” jelas satu kenyataan Johor Southern Tigers semalam.
Kemenangan sulung (3-1) pada kempen Liga Super ke atas Felda United di Larkin, Jumaat lalu pastinya memberi keyakinan kepada JDT untuk menyekat kemaraan Bangkok United. Andai berjaya melepasi pusingan kelayakan kedua ini, menanti pasukan yang menang pada pusingan ketiga kelak adalah kelab Jepun, Gamba Osaka.
0 comments:
Post a Comment