Sudah lima bulan menunggu, jurulatih skuad projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt masih belum tahu nasib pasukannya. Sehingga kini rancangannya untuk memanggil pemain bagi mengadakan latihan pusat di luar kalendar FIFA masih belum mendapat persetujuan kesemua pasukan negeri dan kelab.
“Pada Ogos tahun lalu, kami sudah mengadakan perbincangan bersama pihak persatuan bola sepak negeri dan juga kelab mengenai program latihan berpusat termasuk mengumpul pemain di luar kalendar FIFA bagi tujuan kem latihan jangka pendek.
“Bagaimanapun, buat masa ini keadaan masih belum jelas kerana ada beberapa perubahan besar di belakang tabir pasukan yang pada dasarnya bersetuju dan ada beberapa lagi masih belum memberikan keputusan,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Bernhardt sudah memulakan persiapan membentuk pasukan yang dibarisi pemain bawah 22 tahun ini sejak awal 2016 dan mengakui apa yang dilalui ketika ini memberi kesukaran kepadanya. Pengendali dari Jerman itu yang diletakkan sasaran untuk memenangi emas Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini berharap agar segala perancangannya dapat dilaksanakan.
“Saya masih berharap semua pasukan bersetuju memberi pelepasan kerana saya perlukan masa dan persiapan yang cukup bersama pemain untuk menghadapi Sukan SEA dan juga kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018,” katanya.
Sementara itu 27 pemain dipanggil Bernhardt untuk menghadiri kem latihan pusat bermula 29 Januari ini (Ahad). Ia sebagai persiapan bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu pasukan Vietnam B-22 pada 7 Februari depan di Ho Chi Minh, Vietnam.
“Semestinya pasukan Vietnam B-22 adalah pasukan yang kuat dan mereka akan mempunyai kem latihan selama dua minggu bagi perlawanan persahabatan ini. Kita pula masih perlu menyesuaikan tarikh latihan mengikut jadual pertandingan bola sepak tempatan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment