SELEPAS hampir 10 tahun mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan, tahun ini membuka lembaran baharu buat aktres jelita Lee Young-ae apabila kembali dengan drama bersiri terbaharu berjudul Saimdang: Light’s Diary (Herstory).
Drama bersiri tersebut diinspirasikan daripada kisah hidup Shin Saimdang, seorang pelukis wanita Korea terkenal dan pengasas Yayasan Korean Confucian pada era 1,500 masihi. Ia berkisar seorang wanita moden, Seo Ji-yoon yang bekerja sebagai pensyarah dalam bidang sejarah seni.
Ketaksubannya mengkaji sejarah telah menemukan dirinya dengan sebuah rahsia berhubung diari hidup Saimdang dan potret wanita misteri mirip sepertinya. Di sebalik misteri tersebut, dia terperangkap dalam kisah cinta Saimdang dengan seorang lelaki, Lee-gyeum lakonan Song Seung-hun sehingga terungkai rahsia di sebalik diari Saimdang.
Sejak pengumuman penglibatan Young-ae dalam drama tersebut, rata-rata peminat memberikan respons positif kerana ironinya, Saimdang menjadi saksi kemunculan semula Young-ae dalam industri selepas pernah mencipta populariti menerusi drama Jewel In The Palace pada 2003.
“Saya kembali bertemu peminat pada tahun ini selepas berehat sekian lama dan menumpukan perhatian kepada keluarga. Menerusi drama ini, saya berharap peminat dapat melihat aspek lain dalam lakonan saya kerana ia berbeza dengan apa yang pernah saya bawa dalam drama Jewel In The Palace,” ujarnya.
Mengulas lanjut tentang drama tersebut, aktres berusia 45 tahun itu berkata, dia melakukan persiapan yang rapi sebelum turun ke set penggambaran memandangkan ia merupakan naskhah sejarah.
“Setahun sebelum kami memulakan penggambaran, penulis skrip dan pengarah datang berjumpa dengan saya untuk berbincang lanjut mengenai projek berkenaan. “Banyak perkara diperincikan antaranya bagaimana terjemahan watak Saimdang seperti yang mereka mahu. Saya boleh katakan, kami melakukan perbincangan yang sangat teliti untuk projek ini berbanding drama lain,” ceritanya.
Tambah Young-ae, perkara pertama yang membuatkan dia tidak teragak-agak menerima tawaran Saimdang adalah disebabkan tarikan konsep, jalan cerita dan karakter utamanya yang mempunyai jiwa besar terhadap seni lukisan.
“Apa yang penting, drama ini berkisar kehidupan seorang wanita. Saya mahu menonjolkan sikap dan perasaan wanita pada zaman dahulu dengan zaman sekarang yang tidak pernah berubah. Kami sangat mementingkan keluarga walaupun sedang mengejar cita-cita. Jika sesuatu karakter itu memberi ruang kepada saya untuk menonjolkan sisi berbeza, jadi ia akan menjadi lebih menarik,” ujarnya.
Begitu juga dengan heronya, Seung-hun yang turut membuat kemunculan semula selepas beberapa tahun berehat. Aktor yang terkenal menerusi drama Autumn In My Heart itu menyifatkan Saimdang sebagai naskhah yang cukup istimewa untuk dijadikan hadiah buat peminat.
“Tidak ada permintaan lain kecuali anda semua terhibur dan teruslah menyokong perjalanan seni saya pada masa hadapan. Ini adalah hadiah daripada seluruh tenaga kerja produksi Saimdang kepada semua.
“Dalam drama ini, watak yang saya bawakan ialah seorang pelukis handalan yang sangat mencintai seni. Ia sangat mencabar kerana saya langsung tidak pandai melukis,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment