My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 20 January 2017

    Unjur 4.5 Peratus


    Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 4.5 peratus tahun ini berbanding anggaran pertumbuhan 4.2 peratus yang dibuat pada 2016. 

    Pengarah Eksekutif MIER Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, unjuran itu berasaskan imbangan perdagangan negara yang baik pada September, Oktober dan November tahun lalu, masing-masing pada RM6.6 bilion, RM9.8 bilion dan RM9 bilion. Menurutnya, jika momentum imbangan perdagangan itu berterusan, ada harapan untuk Malaysia mencatat prestasi lebih baik pada 2017. 

    “Unjuran pertumbuhan KDNK bagi tahun ini sudah disemak dan diturunkan kepada 4.5 peratus berbanding unjuran awal antara 4.5 dan 5.5 peratus,” katanya pada sidang media mengumumkan Laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia dan Keputusan Suku Keempat 2016, di sini, semalam.

    Beliau berkata, memandangkan saiz ekonomi negara kecil, ia dijangka bergantung kepada prestasi persekitaran luaran termasuk dasar presiden baru Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, proses Brexit dan keadaan ekonomi China yang lembap.

    “Dunia sekarang ini banyak dipengaruhi oleh ketidaktentuan seperti itu dan kita tidak pasti bagaimana untuk bergerak ke hadapan terutama ketika sentimen dasar perlindungan di negara membangun semakin mendapat momentum,” katanya.

    Katanya, bagi 2017, permintaan domestik akan terus menjadi pemacu pertumbuhan namun pada kadar lebih perlahan iaitu 4.6 peratus berbanding unjuran awal lima peratus. “Penggunaan swasta dan pelaburan juga, masing-masing dijangka berkembang secara sederhana sebanyak 5.5 peratus dan enam peratus berbanding unjuran awal masing-masing 5.6 peratus dan 6.6 peratus,” katanya.

    Dr Zakariah berkata, kadar inflasi pada tahun ini juga kemungkinan lebih tinggi daripada 2.1 peratus yang dicatatkan pada 2016 disebabkan perbelanjaan pengguna yang tinggi. Mengenai ringgit, katanya, ia akan kekal antara 4.4 dan 4.5 berbanding dolar AS pada tahun ini sekiranya tiada faktor ketara yang boleh menjejaskannya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Unjur 4.5 Peratus Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top