Berlakon sebagai pesakit gangguan personaliti berganda sememangnya mencabar bagi James McAvoy, 37, apatah lagi wataknya membabitkan 23 karakter berbeza. Berkongsi cabaran ketika melakonkan watak Kevin Wendell Crumb dalam filem ngeri, Split, McAvoy menggambarkan pengalaman berkasut bertumit tinggi untuk personaliti wanita bernama Patricia amat menyeksakan.
“Berjalan menggunakan kasut tinggi sangat susah dan menyakitkan. Semua wanita di set penggambaran memberi jaminan kasut diberikan adalah yang paling selesa,” katanya.
Selain watak wanita, antara personaliti menonjol McAvoy dalam filem arahan M Night Shyamalan itu adalah kanak-kanak berusia sembilan tahun bernama Hedwig. Menurut pelakon X-Men ini, karakter paling mencabar adalah salah satu personaliti Kevin yang muncul pada penghujung filem itu.
“Karakter itu sangat sukar kerana dia bukan penjahat zalim ataupun penjahat biasa. Saya perlu mencari keseimbangan supaya penonton mengetahui karakter itu bukan normal,” katanya.
Bukan itu saja, McAvoy juga dikehendaki menghasilkan suara berbeza daripada manusia normal untuk karakter unik itu. Berikutan kekangan masa, McAvoy terpaksa menjalani sesi latihan untuk semua personaliti watak Kevin dengan Shyamalan menerusi aplikasi Skype dan FaceTime.
“Tarikh permulaan penggambaran semakin dekat dan kami tiada masa membuat latihan yang betul. Ini kali pertama saya berlatih watak menggunakan Skype dan FaceTime. Saya akui agak ketinggalan terhadap perkembangan teknologi masa kini, namun pengalaman itu memang menarik,” katanya.
Pelakon itu turut menyifatkan Shyamalan sebagai pengarah paling teliti yang dia pernah bekerjasama. Dalam filem Split, antara personaliti Kevin ialah menculik tiga gadis dan mengurung mereka dalam kediamannya.
0 comments:
Post a Comment