My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 21 January 2017

    Piala Sumbangsih 2017 Milik Kedah



    JUARA bertahan Piala Sumbangsih, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga juara Liga Super musim 2016, rebah di gelanggang sendiri, Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin malam tadi. Mereka tewas 4-5 kepada Kedah menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedudukan terikat seri 1-1 selepas tamat masa perlawanan sebenar. 

    Penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Abdul Hamid wajar dijulang sebagai wira selepas berjaya menyelamatkan sepakan penalti Brian Ferreira manakala kesemua pemain Kedah yang ditugaskan untuk mengambil sepakan tersebut, menyempurnakan tugas masing-masing dengan baik.

    Kejayaan Kedah menjulang Piala Sumbangsih 2017 itu merupakan permulaan baik buat juara Piala Malaysia 2016 itu untuk mengharungi saingan Liga Super musim ini yang dijangka lebih sengit dan mencabar.

    Pada perlawanan malam tadi, kedua-dua pasukan tampil dengan rentak yang agak seimbang dan sering melancarkan asakan ke gawang lawan untuk mencari jaringan pembukaan. Namun usaha mereka untuk memecah kebuntuan menemui kegagalan gara-gara tindakan penyudah yang kurang berkesan.

    Begitupun, JDT terlebih dulu menemui sasaran apabila kapten, Safiq Rahim meletakkan pasukannya di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-40. JDT memperoleh sepakan tersebut selepas penyerang, Brian Ferreira dijatuhkan dalam kawasan penalti dan Safiq yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut mudah menyempurnakannya.

    Kelebihan tersebut gagal dipertahankan oleh JDT apabila Kedah tampil lebih bertenaga pada separuh masa kedua yang menyaksikan pasukan pelawat itu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi rembatan kencang kaptennya, Baddrol Bakhtiar daripada luar kotak penalti.

    Selepas jaringan penyamaan itu, kedua-dua pasukan dilihat menggandakan asakan namun usaha mereka untuk menambah jaringan tetap menemui kebuntuan. Kedua-dua pasukan juga kental bertahan dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

    Juara Piala Sumbangsih itu terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang menyaksikan Kedah melaksanakan tugas mereka dengan baik. Begitupun, kedua-dua pasukan kini berkongsi satu mata untuk saingan Liga Super.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Piala Sumbangsih 2017 Milik Kedah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top