“SEMOLEK-MOLEKNYA individu paling sesuai untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail (Sultan Ibrahim) tetapi jika baginda menolak, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pun boleh dipertimbangkan.”
Itulah pandangan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai calon paling layak untuk memegang jawatan tertinggi dalam badan induk bola sepak negara itu.
Menurut Shahidan, TMJ telah membuktikan kredibiliti baginda mengubah landskap bola sepak Johor menerusi kelab Johor Darul Ta’zim (JDT). “Resipi yang baginda lakukan untuk mengubah bola sepak Johor mungkin boleh dipraktikkan dalam FAM, sekali gus memulihkan imej bola sepak negara.
“Kredibiliti baginda sudah terserlah, malah sejak menerajui JDT, banyak perubahan telah dilalui pasukan tersebut termasuk menjuarai Piala Konfederasi Asia (AFC) 2015 lalu selain muncul selaku pasukan gergasi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M),” jelas Shahidan semalam.
Media semalam melaporkan, Tunku Ismail dan Khairy bersama bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa serta bekas Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat masing-masing menerima pencalonan daripada ahli gabungan FAM untuk bertanding jawatan Presiden FAM pada Kongres ke-53 badan induk bola sepak negara itu, 25 Mac depan.
‘Kerusi panas’ itu dikosongkan apabila penyandangnya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan yang dipegang baginda sejak 2015. “Tunku Ismail tetap calon pilihan untuk jawatan tersebut.
Baginda tokoh paling sesuai untuk menjadi presiden baharu FAM,” tegas Shahidan. Bagaimanapun Shahidan menegaskan, pilihan kedua sudah semestinya Khairy yang memiliki aura tersendiri untuk membawa perubahan dalam FAM. “Andai kata TMJ menolak pencalonan tersebut, calon pilihan kedua adalah Khairy.
“Khairy adalah Menteri (Belia dan Sukan). Sudah pasti kita mahukan (orang) yang terbaik. Beliau mampu memberi perubahan positif untuk membawa bola sepak kita ke arah kegemilangan,” kata lagi.
0 comments:
Post a Comment