Suasana sedih dan pilu menyelubungi upacara pengebumian jenazah Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di Tanah Perkuburan Islam Samariang di sini semalam. Allahyarham Adenan, 72, selamat dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan pada pukul 2.40 petang selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Negeri, Petra Jaya di sini.
Sebelum jenazah Adenan disemadikan, isteri Allahyarham, Puan Sri Jamilah Anu yang memakai pakaian berwarna putih kelihatan tenang. Namun, beliau tidak dapat menahan kesedihan hingga mengalirkan air mata sejurus surah Al-Fatihah dan doa dibacakan oleh Pemangku Imam Besar Negeri, Ustaz Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Upacara diteruskan dengan penyerahan bendera Sarawak kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda penghormatan kepada Ketua Menteri kelima itu dan berakhir dengan Jamilah menyiram air mawar di pusara Adenan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai para pemimpin negara dan rakyat jelata memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Hadir sama, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, barisan menteri Kabinet Persekutuan dan negeri serta kira-kira 5,000 orang ramai memenuhi pekarangan tanah perkuburan tersebut.
Media semalam melaporkan Adenan telah menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan dekat sini akibat komplikasi jantung.
0 comments:
Post a Comment