Mahkamah Persekutuan di sini semalam memutuskan bekas peguam, N. Pathmanabhan dan dua pekerja ladang kekal menjalani hukuman gantung sampai mati kerana membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di sebuah ladang di Banting, Selangor hampir tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun, seorang daripada pekerja ladang milik bekas peguam itu, R. Matan, 26, dilepaskan dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman mati kerana membunuh keempat-empat mangsa.
Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sebulat suara menolak rayuan akhir Pathmanabhan, 47; T. Thilaiyalagan, 25, dan R. Kathavarayan, 37, berhubung kes pembunuhan itu.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar; Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim turut menganggotai panel hakim itu.
Menurut Arifin, terdapat terlalu banyak bukti yang menunjukkan Sosilawati dan tiga rakannya telah dibunuh oleh ketiga-tiga tertuduh di ladang milik Pathmanabhan pada masa dan tarikh dalam kertas pertuduhan.
“Seperti yang telah dibuktikan sebelum ini, kami bersetuju pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes ini berada di luar keraguan munasabah di Mahkamah Tinggi,” katanya ketika membacakan keputusan penghakiman setebal 37 muka surat.
Bagaimanapun, Arifin berkata, tidak terdapat bukti yang mencukupi terhadap Matan untuk mengaitkan lelaki itu dengan pembunuhan itu. Ketika keputusan itu dibacakan, keempat-empat lelaki yang memakai baju penjara berwarna putih berlengan merah itu tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Matan berkata, anak guamnya akan dibebaskan di Penjara Kajang, Selangor. Mahkamah selesai mendengar penghujahan panjang lebar kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan yang berlangsung selama enam hari bermula 31 Oktober 2016 dan berakhir pada 8 November tahun lalu.
0 comments:
Post a Comment