Sejarah tercipta buat anak Malaysia yang terkenal dengan jolokan ‘Messi Amerika’, Wan Kuzain Wan Kamal apabila berjaya membuat kemunculan pertamanya selaku pemain profesional dalam Liga Soccer United (USL) dengan membarisi kesebelasan utama Swope Park Rangers menentang OKC Energy, Sabtu lalu.
Memakai jersi bernombor 75 menyaksikan Kuzain diberi peranan beraksi di bahagian tengah dengan berjaya membantu kelabnya itu bangkit daripada ketinggalan untuk merakam kemenangan 3-1.
Menurut ayah pemain berusia 18 tahun itu, Prof Dr Wan Kamal Napi, penampilan pertama Kuzain dalam saingan divisyen dua liga utama negara Uncle Sam itu bukan saja melakar sejarah tersendiri, malah turut muncul anak Melayu pertama beraksi.
Jelasnya, Kuzain membawa impak berbeza dalam persembahan pasukannya dan berjaya mengawal jentera tengah dengan baik dan sempurna. “Semua jurulatih dan rakan sepasukannya memuji persembahan Kuzain. Mereka berpendapat aksi pertama Kuzain di Liga USL itu sangat baik.
“Saya sendiri biasanya agak sukar untuk memberi pujian ke atasnya, tapi melihatkan permainannya dia berhak diberi kredit biarpun itu adalah penampilan pertama di pentas tertinggi,” katanya semalam.
Dalam aksi itu, Kuzain diturunkan dalam kesebelasan utama dan bermain hingga minit ke-75 sebelum dia digantikan pengendali pasukan, Nikola Popovic.
Media sebelum ini pernah melaporkan mengenai perkembangan karier Kuzain yang pernah mewakili skuad bawah 17 tahun Amerika Syarikat (AS) dan berlatih dengan Sporting KC B-18 selain pernah dijemput menjalani latihan bersama gergasi Liga Eredivisie, Feyenoord di Belanda.
Menerusi perkembangan terbaru pemain berdarah Malaysia itu, mungkinkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang kini diterajui Presiden baru Tunku Ismail Sultan Ibrahim berminat untuk cuba memikat Kuzain membintangi skuad Harimau Malaysia selepas ini.
Wan Kamal pernah mengesahkan sebelum ini FAM langsung tidak pernah cuba menghubungi anaknya itu yang kini sudah melanjutkan pengajian di Universiti Akron.
0 comments:
Post a Comment