Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baru diterajuinya bukan kejayaan sebaliknya tanggungjawab penuh berat yang perlu dipikul. Jelasnya, demi meletakkan kembali masa depan bola sepak negara di landasan tepat beliau sanggup berkorban walaupun terpaksa meningggalkan kelab kesayangan Johor Darul Ta’zim (Johor DT).
“Bagi saya, pergi FAM bukan satu kejayaan tapi beban dan tanggungjawab. Saya tidak pernah mahu menjadi presiden. Tetapi kadang-kala anda perlu berkorban untuk apa yang anda sayang. Pada saya, FAM satu tugas. Tapi Johor DT sentiasa di hati dan tempat di mana saya sayang.
“Dan untuk melindungi apa yang disayang, saya perlu berkorban dan pengorbanan itu adalah untuk saya pergi ke FAM,” kata Tunku Ismail dalam entri pertamanya di laman rasmi Facebook FAM, semalam.
Pada Kongres Pemilihan FAM kali ke-53 Sabtu lalu, Tunku Ismail disahkan sebagai presiden baru selepas menang tanpa bertanding apabila pencabarnya Tan Sri Annuar Musa menarik diri dua hari sebelum pemilihan itu.
Sebaik menerajui badan induk itu, pemilik Johor DT itu tidak menunggu lama membuat perubahan apabila melantik bekas pengendali Harimau Selatan Mario Gomez sebagai jurulatih baru skuad negara.
Malah beberapa perancangan juga disuarakan Tunku Ismail pada sidang media pertamanya dengan menggariskan empat pelan jangka pendek termasuk menyemak serta melakukan audit ke atas akaun persatuan itu.
Sementara itu, dalam entri berlainan beberapa keping gambar dimuat naik menunjukkan Tunku Ismail sedang sibuk mengadakan mesyuarat dan perjumpaan bersama beberapa individu berkenaan bola sepak tanah air.
Antaranya mesyuarat dengan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, Ketua Jabatan Kewangan FAM Datuk V Ampega, Ketua Eksekutif NFDP Safirul Abu Bakar, Ketua Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam dan individu dari Zenith Group Media Group.
0 comments:
Post a Comment