My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 31 March 2017

    Episod Duka Keluarga Berakhir



    Selepas 10 hari anak lelakinya, Fandy Bakran, 27, diculik kumpulan mi­litan Abu Sayyaf pada Julai tahun lalu, dia diuji pula dengan satu lagi musibah apabila kediamannya musnah dalam kebakaran. 

    Bagaimanapun, episod duka kehidupan ibu kepada mangsa culik itu, Hasmia Lahapi, 51, terubat selepas Fandy pulang ke pangkuannya dalam pertemuan di kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Duta di sini hari ini.

    Dengan linangan air mata ke­gembiraan, Hasmia melahirkan kesyukuran sekali gus dapat melupakan detik pahit kehidupannya walaupun rumah yang didiaminya di Tawau, Sabah musnah terbakar. 
    “Selepas kehilangan Fandy, setiap malam saya tidak dapat melelapkan mata memikirkan nasib dan keadaannya yang berada dalam tawanan pengganas.

    “Tidak cukup dengan ujian itu, rumah kami pula musnah terbakar sehingga memaksa saya sekeluarga menumpang di rumah saudara-mara,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

    Terdahulu, Fandy dan dua lagi mangsa, Mohd. Jumadil Rahim, 24, dan Mohd. Ridzuan Ismail, 33, disatukan buat pertama kali de­ngan ahli keluarga masing-ma­sing dalam pertemuan yang diatur Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

    Dalam pada itu, isteri kepada Mohd. Ridzuan, Harianti Hamsi, 31, berkata, kehidupan yang dilaluinya lebih lapan bulan lalu selepas insiden penculikan itu amat sukar digambarkan. Dia yang dimaklumkan me­ngenai kejadian itu oleh rakan suaminya berkata, selepas kehilangan Mohd. Ridzuan, salah seorang daripada tiga anaknya mengalami demam panas.

    “Saya juga terpaksa menguruskan anak sulung kami, Noridawati, 6, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) seorang diri. Apa-apa pun, saya amat bersyukur semua itu sudah berakhir dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menyelamatkan suamin saya dan mangsa culik yang lain,” katanya.

    Isnin lalu, Kementerian Luar mengesahkan bahawa tiga mang­sa culik rakyat Malaysia telah diselamatkan Pasukan Khas Bersepadu Sulu dalam operasi ketenteraan di Sulu pada 26 Mac lalu. 

    Ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke sebuah hospital tentera di Jolo, Sulu untuk dirawat sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 8 malam semalam.

    Sebelum ini, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut bertemu dan mendengar sendiri cerita dua lagi nelayan yang turut menjadi mangsa culik, Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63.
    Kelima-lima mereka diculik oleh kumpulan militan itu ketika berada di atas kapal tunda Serudong 3 di perairan Dent Haven, Lahad Datu pada 18 Julai tahun lalu. Kapal itu ditemukan dalam keadaan enjinnya masih hidup di perairan itu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Episod Duka Keluarga Berakhir Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top