My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 16 March 2017

    Aksi Malaysia, Korea Utara 8 Jun




    PERLAWANAN kelayakan Piala Asia 2019 peringkat Kumpulan B antara Malaysia dan Korea Utara akan diadakan pada 8 Jun depan. Perkara tersebut disahkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam. 

    Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul ketika mengumumkan tarikh baharu itu berkata, Korea Utara diberi tempoh sebulan bermula 13 Mac lalu hingga 14 April depan untuk mencadangkan venue baharu bagi perlawanan tersebut nanti.

    Menurut Windsor, sekiranya Korea Utara gagal mencadangkan venue itu, AFC akan menentukan gelanggang baharu bagi pihak negara berkenaan sebelum 8 Mei depan.

    Perlawanan pembukaan Kumpulan B itu dijadualkan berlangsung di Stadium Kim Il Sung, Pyongyang pada 28 Mac ini, namun terpaksa ditunda atas permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). FAM mahukan perlawanan tersebut diadakan di gelanggang berkecuali atas faktor keselamatan.

    Ia berikutan hubungan diplomatik yang agak tegang antara Malaysia dan Korea Utara selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lepas.

    Windsor berkata, Korea Utara bukan sahaja perlu mencadangkan venue berkecuali tetapi juga harus memberi jaminan keselamatan dan visa khusus untuk pemain, media, pegawai dan peminat bola sepak.

    Seandainya venue berkecuali dipilih untuk perlawanan pertama, maka perlawanan timbal balik antara kedua-dua pasukan itu juga akan diadakan di venue berkecuali,” kata Windsor pada sesi taklimat kepada pihak media di ibu pejabat AFC di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

    Katanya, tarikh baharu itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan AFC. “Kami perlu mengadakan perlawanan mengikut jadual FIFA dan sekiranya tidak, pemain tidak akan mendapatkan pelepasan daripada kelab masing-masing.

    “Mengikut kalendar FIFA perlawanan pertama Kumpulan B antara Harimau Malaysia menentang Korea Utara harus diadakan sebelum bermulanya perlawanan kedua (Kumpulan B). Jadi, 8 Jun adalah tarikh sesuai untuk mengadakan perlawanan antara Harimau Malaysia dan Korea Utara.

    “Kita sekarang ini sedang dalam perbincangan dengan Korea Utara untuk mengenal pasti stadium atau negara mana yang akan digunakan kerana seperti yang saya beritahu tadi, negara yang menjadi pilihan sebagai tempat berkecuali itu harus memberi jaminan keselamatan seperti yang termaktub dalam peraturan pertandingan AFC,” kata Windsor.

    Sementara itu, Windsor turut menepis spekulasi kononnya Korea Utara akan menarik diri daripada kempen kelayakan Kumpulan B Piala Asia 2019 jika mereka terpaksa bermain di gelanggang berkecuali. “Buat masa ini, mereka sedang mencari gelanggang berkecuali. Jadi, kita seharusnya menggalakkan perlawanan ini dilangsungkan,” ujarnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Aksi Malaysia, Korea Utara 8 Jun Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top