SKUAD hoki negara sudah boleh merangka strategi untuk menghadapi perlawanan separuh akhir kempen Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) 2017 kerana mereka dijangka menang mudah ke atas Sri Lanka pada perlawanan suku akhir di Stadium Maulana Bhasani Dhaka, Bangladesh hari ini.
Sri Lanka yang menghuni ranking ke-41 dunia bakal menjadi ‘lauk’ skuad Malaysian Tigers yang memiliki reputasi selaku pasukan pilihan pada WHL kali ini.
Selain itu, skuad kendalian Stephen van Huizen itu yang menduduki ranking ke-13 dunia, adalah antara pasukan yang mencatat jumlah jaringan terbanyak pada kempen kali ini apabila berpesta gol dalam setiap perlawanan yang mereka harungi pada saingan peringkat Kumpulan A.
Sebelum mengesahkan status mereka bergelar juara Kumpulan A, skuad negara telah membenam pasukan tuan rumah, Bangladesh 3-0 pada perlawanan pembukaan diikuti kemenangan 6-1 ke atas Oman sebelum menutup tirai aksi peringkat kumpulan dengan membelasah Fiji 11-1.
Rentak cemerlang itu bakal berulang hari ini kerana Sri Lanka yang menghuni tangga tercorot Kumpulan B bukan lawan yang mampu memberi cabaran kepada skuad negara. Begitupun pengurus pasukan, Mohd, Nasihin Nubli Ibrahim tetap mengingatkan barisan pemain negara agar berhati-hati dengan rentak permainan Sri Lanka.
Menurut Nasihin, mereka tidak boleh memandang mudah kemampuan Sri Lanka walaupun skuad negara dilihat mudah untuk melakar kemenangan ke atas lawan mereka itu. “Sri Lanka mempunyai barisan penyerang yang pantas. Mereka memiliki kemahiran mengawal bola dengan baik, jadi saya berharap agar para pemain negara tidak mudah leka,” jelas Nasihin ketika dihubungi media semalam.
Dua pasukan terbaik pada saingan di Dhaka akan layak secara automatik ke Separuh Akhir WHL 2017 yang juga merupakan pusingan kelayakan akhir Piala Dunia 2018 di Johannesburg, Afrika Selatan atau London, England pada Jun dan Julai nanti.
0 comments:
Post a Comment