Semalam adalah hari di mana kesemua waris 239 orang penumpang, pesawat MH370 milik Malaysia Airlines mengenang semula detik gelap dalam hidup mereka. Semalam adalah hari di mana pesawat berkenaan terbang dan tidak pernah pulang untuk tahun ketiga. Semalam juga merupakan salah satu tarikh yang tidak akan mungkin dilupakan oleh sekurang-kurangnya 10 buah negara.
Tiga tahun lalu, pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Beijing tepat jam 12.31 malam yang membawa 239 orang penumpang termasuk anak kapal. Kira-kira jam 1.20 pagi, kira-kira 5 minit selepas Kapten Zaharie Ahmad Shah mengucapkan "selamat malam Kuala Lumpur", pesawat berkenaan hilang dari radar.

Siapa dapat melupakan bagaimana dunia menyaksikan sebanyak 26 buah negara menyertai operasi ini dan ianya disifatkan sebagai operasi menyelamat paling besar dalam dunia. Namun begitu, operasi ini menemui jalan buntu apabila langsung tidak terdapat sebarang petunjuk pesawat berkenaan mengakhiri perjalanannya di perairan Vietnam.
Satu demi satu negara berundur setelah gagal mengesan lokasi pesawat berkenaan berakhir sehinggalah sati imej satelit tentera mendedahkan, pesawat berkenaan dilencongkan menghala Lautan Hindi menerusi Kepulauan Andaman. Di sinilah bermulanya operasi tiga buah negara, Malaysia, Australia dan China mencari jejak MH370.

Disebalik penemuan beberapa komponen pesawat berkenaan di Tanzania, Kepulauan Reunion dan Madagascar, operasi yang menelan belanja beratus-ratus juta Dollar ini tetap gagal menemui bangkai pesawat berkenaan apatah lagi penumpang-penumpangnya. Akhirnya, menerusi kesepakatan bersama, operasi paling mencabar di dunia ini berakhir pada 20 Disember 2016.
Pengakhiran ini bukan bermakna Malaysia, Australia dan China bersikap lepas tangan. Sebaliknya, pengakhiran ini adalah buat sementara waktu sahaja sehingga pasukan penyiasat menemui bukti baru kemungkinan di mana bangkai pesawat berkenaan berada.

Tidak banyak yang boleh kita rungkai, di manakah hilangnya MH370. Adakah pesawat ini menemui tanah dan mendarat dan ditawan oleh pihak-pihak tidak dikenali? Adakah pesawat berkenaan kini berada di dasar Lautan Hindi bersama-sama penumpangnya? Tiada siapa mempunyai jawapannya dan hanya masa menentukan untuk merungkai misteri paling ingin diketahui dalam sejarah dunia penerbangan.
0 comments:
Post a Comment