My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 16 March 2017

    China Mulakan Kerja Pembinaan Baharu Di Kepulauan Paracel


    China memulakan kerja-kerja pembinaan baharu di kawasan tuntutan bertindih di Laut China Selatan, demikian­ menurut imej satelit baharu, sekali gus petunjuk bahawa Beijing terus me­ngukuhkan keupayaan tenteranya di laluan perdagangan utama itu. 

    Atase-atase tentera serantau dan pakar-pakar percaya kerja-kerja pembinaan itu menunjukkan keazaman China dalam memperkasakan rangkaian terumbu dan pulau kecil yang didudukinya walaupun Beijing berusaha untuk mengelak konfrontasi baharu dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

    Imej Pulau Utara di Kepulauan Paracel yang dirakam pada 6 Mac lalu menunjukkan kerja pembersihan tanah dan persediaan untuk membina pelabuhan bagi menyokong penempatan struktur ketenteraan.

    Kerja pembinaan awal di lokasi itu rosak akibat ribut taufan pada tahun lalu. Gambar-gambar itu yang disediakan oleh firma satelit swasta, Planet Labs menyusul selepas laporan pada Januari lalu yang me­nunjukkan kerja-kerja pembinaan dijalankan di Pulau Pokok berhampiran Pulau Utara, juga dalam Kepulauan Paracel. 

    Selain China, Kepulauan Paracel dituntut oleh Vietnam dan Taiwan. “Kepulauan Paracel akan menjadi ke­utamaan dalam sebarang percubaan China untuk mendominasi Laut China Selatan pada masa hadapan,” kata pakar Laut China Selatan dari Akademi Pasukan Pertahanan Australia, Carl Thayer.

    “Kita boleh lihat bahawa mereka (China) komited kepada ketenteraan walau apa pun retorik rasmi mereka, meskipun mereka akan melakukannya secara beransur-ansur,” tambahnya.

    Kepulauan Spratly di selatan Paracel merupakan lokasi yang mempunyai lebih banyak tuntutan bertindih tetapi Kepulauan Paracel adalah kunci kepada kehadiran China di Laut China Selatan, katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: China Mulakan Kerja Pembinaan Baharu Di Kepulauan Paracel Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top