My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 9 March 2017

    Menguruskan Gadis-Gadis Ternoda


    Sepasang suami isteri sangat panik dan hilang punca apabila anak gadis mereka berusia 16 tahun tiba-tiba membuat pengakuan dia hamil hasil hubungan terlarang dengan rakan sekolah. Mereka buntu dan keliru mengenai tindakan selanjutnya kerana tidak pernah menduga perkara sebegitu akan berlaku. 

    Inilah situasi yang kerap dilalui ibu bapa apabila menerima berita gempar sedemikian. Persoalannya, apakah yang perlu anda lakukan jika hal serupa tiba-tiba menimpa diri anda?

    Bagi Ahli Lembaga Pengarah Raudhatus Sakinah Yusnani Abdul Hamid yang juga kaunselor kekeluargaan, situasi itu memang sentiasa memerangkap ibu bapa sehingga ada yang hilang pertimbangan dan mengambil tindakan di luar batasan.

    Ini kerana mereka menganggap keterlanjuran anak itu sebagai satu keaiban besar yang perlu ditutup daripada pengetahuan sesiapa saja termasuk keluarga dan jiran tetangga. “Kebanyakan ibu bapa tidak reda dengan apa yang berlaku malah menganggapnya sebagai ‘bala’.

    Tidak ramai yang berlapang dada untuk menerimanya walaupun memang diakui hamil di luar perkahwinan bukan saja dosa malah mengaibkan. “Ada ibu bapa, walaupun boleh memaafkan anak atas keterlanjurannya namun tidak sanggup menerima bakal cucu mereka yang juga anak tidak sah taraf. Malah seboleh-bolehnya, mereka tidak mahu anak itu lahir ke dunia.

    “Oleh itu, demi menutup malu, mereka sanggup menyuruh anak menggugurkan kandungan. Ketika itu, mereka bukan saja sanggup menanggung dosa malah bersedia berdepan risiko yang mungkin dihadapi oleh anak.

    “Ada kes walaupun pengguguran berjaya dilakukan, gadis yang melakukannya menghadapi pelbagai komplikasi kesihatan susulan perbuatannya itu. Malah, ada yang menghadapi tekanan jiwa sehingga membawa kepada cubaan membunuh diri,” katanya.

    Yusnani atau lebih mesra dengan panggilan Ibu Yus juga berkata, dalam kes tertentu apabila kandungan gagal digugurkan, ibu bapa sanggup bersubahat dengan anak untuk menyembunyikan kelahiran bayi itu dengan membuangnya.

    Malah Ibu Yus menegaskan, isu pembuangan bayi yang bagaikan tiada kesudahan juga berkait rapat dengan sikap ibu bapa dalam menangani insiden anak ‘termengandung’ ini. “Ada ibu bapa yang bukan saja tidak sanggup menerima bayi yang dikandung malah turut menghukum anak mereka dengan membuangnya daripada keluarga.

    Anak gadis yang hamil ini dihalau dari rumah dan tidak diakui sebagai anak. “Apabila keadaan ini berlaku, gadis berkenaan akan berada dalam tekanan yang sangat hebat. Sudahlah teman lelaki tidak mahu bertanggungjawab atas keterlanjuran mereka, keluarga pula menyisihkannya.

    Ia ditambah pula sikap masyarakat yang hanya tahu menghukum tanpa berusaha membantu gadis ini untuk pulang ke pangkal jalan. “Ada pula gadis yang mengambil sikap mahu menanggung sendiri perbuatan mereka dan menyembunyikan kehamilan daripada keluarga. Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu keluarga terutama ibu bapa tahu.

    “Gadis sebegini yang selalu mengambil jalan singkat dengan membuang bayi. Malah, ada yang lebih kejam, mereka sanggup membunuh bayi yang dilahirkan dengan pelbagai cara. Mereka menyangka dengan melakukan sebegitu akan menyelesaikan masalah,” ujarnya.

    Usah gelabah

    Ibu Yus menasihati gadis yang terperangkap dalam situasi ini agar mengambil sikap ‘berani buat berani tanggung’ dengan berterus terang kepada ahli keluarga. Manakala ibu bapa yang menghadapi keadaan tidak terduga itu pula tidak perlu panik, gelabah mahupun mengambil pendekatan yang memburukkan lagi keadaan.

    “Menghukum anak yang terlanjur bukan jalan terbaik. Walaupun ‘nasi sudah menjadi bubur’, ia tidak perlu dibuang sebaliknya masih boleh ditanak semula agar ia masak. Tidak dinafikan, perbuatan anak ibarat menconteng arang di muka yang sering menjadi buah mulut masyarakat namun mulut tempayan boleh ditutup, bukan mulut manusia.

    “Pedulikan dan tulikan telinga kerana apa yang lebih penting adalah menyelamatkan anak kita daripada terus melakukan dosa seperti menggugurkan kandungan atau membuang bayi berkenaan,” katanya.

    Menurut Ibu Yus, beberapa langkah boleh diambil oleh ibu bapa apabila berhadapan dengan isu kehamilan tanpa nikah. Seelok-eloknya perlu dilakukan segera sebelum kehamilan dapat dikesan oleh masyarakat bagi mengelakkan rasa aib.

    “Langkah paling baik adalah mengahwinkan gadis itu dengan pasangan yang menghamilkannya. Bertemu dan berpakat dengan keluarga lelaki untuk sama-sama menyelesaikan masalah ini. Dengan cara itu, bukan saja dapat menutup aib malah anak yang dikandung itu mendapat pembelaan sewajarnya kerana dia tidak bersalah.

    “Namun, perlu juga dilihat dan dikaji terlebih dulu latar belakang pemuda itu. Contohnya, adakah dia mempunyai pekerjaan dan mampu menanggung keluarga selepas berkahwin? Tetapi jika dia sendiri penganggur ditambah pula terbabit dengan gejala tidak sihat seperti penagihan dadah, elakkan perkahwinan antara mereka kerana ia hanya akan menambah masalah pada masa akan datang. 

    “Begitu juga jika pasangan itu di bawah umur dan masih belajar, perkahwinan bukanlah jalan penyelesaian terbaik kerana sudah pasti mereka tidak mampu menguruskan kehidupan mereka kelak,” ujarnya.

    Namun Ibu Yus mendedahkan dalam kebanyakan kes, gadis yang hamil tidak tahu identiti lelaki yang menghamilkannya kerana kerap bertukar pasangan akibat terjebak dalam aktiviti seks bebas. Ada juga yang mengandung akibat perbuatan ahli keluarga sendiri yang tidak membolehkan mereka berkahwin.

    Bagi menangani isu sebegini, Ibu Yus menasihati ibu bapa agar menghantar anak ke pusat perlindungan dan bimbingan yang bukan saja bertindak menjaga gadis itu sehingga melahirkan malah membimbing mereka untuk kembali ke pangkal jalan.

    “Pusat bimbingan seperti Raudhatus Sakinah sentiasa membuka pintu untuk remaja yang menghadapi masalah sebegini. Bagi kami, walaupun mereka sudah melakukan kesilapan atau tersalah langkah, gadis ini perlu diberi bantuan dan bimbingan agar mereka kembali ke pangkal jalan.

    “Pada masa sama, kami dapat menyelamatkan bayi yang tidak berdosa daripada dibunuh melalui pengguguran atau dibuang secara tidak berperikemanusiaan,” katanya. 

    RS bukan rumah transit

    Walaupun memberi perlindungan kepada gadis yang hamil tanpa nikah, Ketua Pegawai Eksekutif Raudhatus Sakinah (RS) Rosmawati Zainal menegaskan, pusat berkenaan bukan rumah transit untuk melahirkan anak tidak sah taraf.

    Sebaliknya, dia menjelaskan RS berperanan sebagai pusat bimbingan untuk memulihkan anak gadis yang tersasar agar kembali ke pangkal jalan serta menjadi Muslimah yang lebih baik. Rosmawati yang membahasakan dirinya Ummi Ros mengakui agak kecewa dengan sikap sesetengah ibu bapa yang meletakkan RS sebagai tempat perlindungan sementara bagi anak mereka yang mengandung. 

    “Ada ibu bapa yang menjadikan RS sekadar tempat untuk menutup malu apabila menghantar anak ke sini dengan tujuan mengelak masyarakat tahu anak mereka hamil tanpa nikah.

    “Jadi, selepas selamat melahirkan bayi, ibu bapa membuat pelbagai helah serta lakonan untuk membawa anak mereka keluar dari RS walaupun syarat kemasukan ke sini menetapkan setiap penghuni mesti tinggal bersama kami selama 15 bulan.

    “Malah, agak menyedihkan apabila ada ibu bapa yang sanggup menfitnah kami dengan mereka pelbagai cerita negatif mengenai RS. Contohnya ada ibu bapa yang membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat anak mereka didera dan menerima layanan buruk sepanjang berada di sini,” ujarnya.

    Ummi Ros berkata, sepanjang berlindung di RS, pusat itu memberi kaunseling dan bimbingan kerohanian agar selepas keluar dari situ, mereka tidak kembali terjerumus ke kancah zina serta kemaksiatan yang lain.

    “Kami mengenal pasti antara punca berlakunya perbuatan zina ini adalah kerana asas agama yang tidak kukuh dalam keluarga. Sebab itu, selain memberi perlindungan sehingga mereka melahirkan anak, kami mengambil pendekatan memberi didikan agama sepanjang mereka berada di RS.

    “Kami mewajibkan mereka menjadi penghuni di sini selama 15 bulan kerana rekod menunjukkan modul yang kami laksanakan ini bukan saja berjaya menyelamatkan mereka daripada terjerumus semula ke kancah maksiat malah melahirkan insan yang lebih beriman.

    “Oleh itu dalam soal ini, ibu bapa perlu memberi kerjasama dan wajib membabitkan diri dalam usaha kami kerana permasalahan ini kebanyakannya berpunca daripada keluarga sendiri. Ibu bapa tidak menjalankan tanggungjawab dalam memberi didikan agama yang sempurna kepada anak. Apabila tiang agama tidak teguh, tumbanglah iman yang akhirnya membawa kepada pelbagai gejala sosial,” katanya.

    Malah Ummi Ros menegaskan, ibu bapa tidak perlu terkejut jika mengetahui anak hamil tanpa nikah sebaliknya mereka perlu turut sama bertanggungjawab. “Dalam kebanyakan kes yang kami kendalikan, selain kurang didikan agama, ibu bapa hari ini memberi kebebasan tanpa sempadan kepada anak.

    Contohnya, mereka tahu anak gadis keluar bersama kawan lelaki tapi hanya membiarkan keadaan itu. “Malah ada yang mengizinkan anak keluar dengan teman lelaki atas dasar tidak mahu mengongkong. Inilah antara punca anak akhirnya terjebak dengan pelbagai masalah sosial termasuk zina.

    “Oleh itu, kalau anak didapati hamil, tidak wajar untuk kita menganggap ia sebagai ‘termengandung’ atau ‘tiba-tiba mengandung’ kerana setiap yang berlaku ada puncanya. Seelok-eloknya apabila berlaku kes sebegini, ibu bapa hendaklah cerminkan diri atau bermuhasabah. Selain anak, mereka juga perlu berubah,” ujar Ummi Ros.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Menguruskan Gadis-Gadis Ternoda Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top