Sudah menjadi resam dunia apabila mereka yang gagah pasti akan dijulang setinggi yang boleh. Apa sahaja yang diperkatakannya pasti akan menjadi ikutan ramai. Bagi nasib sikerdil, kepintaran mereka dalam menjalani kehidupan adalah tiket untuk meneruskan kehidupan. Untuk menyanggah si gagah, pastinya bukan satu perkara yang mudah.
Inilah ibaratnya hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam Pakatan Harapan. Umum sedia maklum bahawa DAP adalah ketua bagi pakatan pembangkang ini dengan Lim Kit Siang dianggap sebagai ketua de facto pakatan ini.
Namun, apa yang melucukan apabila PPBM dalam satu mesyuarat tertingginya baru-baru ini, cuba menunjukkan parti mereka adalah parti yang cukup gah di dalam Pakatan Harapan. Manakan tidak, melalui kenyataan Mahathir, partinya mengumumkan Pakatan Harapan akan menggunakan satu lambang dan satu manifesto untuk mengharungi Pilihan Raya Umum ke 14 kelak.
Tindakan Mahathir ini sebenarnya cukup pelik kerana di dalam Pakatan Harapan sendiri mempunyai Majlis Kepimpinan Tertingginya sendiri yang akan memutuskan masa hadapan pakatan berkenaan. Sebelum ini, semua parti yang menganggotai Pakatan Harapan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan sebelum majlis berkenaan mengadakan mesyuarat mereka.
Namun bagi Mahathir, beliau dilihat amat berharap pengumuman berkenaan akan dipersetujui oleh semua pemimpin utama PKR, DAP dan PAN. Boleh dikatakan, langsung tidak ada sebarang konsesus di capai dalam membicarakan perkara ini walaupun keinginan kuat Mahathir ini pernah disuarakan semasa Konvensyen Pakatan Harapan tahun lalu.
Bukankah pelik jika dinilai umur kewujudan PPBM berbanding 2 lagi parti teras Pakatan Harapan, DAP dan PKR? PPBM baru sahaja di tubuhkan pada September tahun lalu dengan PKR sudah berusia lebih 17 tahun dan DAP sendiri sudah berusia 51 tahun. Adakah keegoan kedua-dua parti ini akan terhakis apabila mahu mendengar pandangan "budak mentah" dalam Pakatan Harapan?
Sudahlah keahlian sendiri masih kekal misteri sehingga kini, hari ini mereka berlagak abang besar di dalam Pakatan Harapan. Mungkin bagi PPBM, usia dan pengalaman Mahathir harus di hormati oleh semua pihak memandangkan beliau pernah menjadi Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin sendiri pernah menjadi Tumbalan Perdana Menteri.
Akan tetapi, mereka harus sedar, DAP dan PKR adalah dua parti teras yang jauh berpengalaman dalam kem pembangkang. Siapa PPBM, sebuah parti kerdil ini mahu mengarahkan DAP dan PKR mengikut kata-katanya?
0 comments:
Post a Comment