My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 13 March 2017

    Hubungan Turki-Belanda Tegang




    Turki semalam memberi amaran kepada Belanda bahawa Ankara akan bertindak balas dengan ‘cara paling keras’ selepas menteri keluarga negara itu, Fatma Betul Sayan Kaya tidak dibenarkan memasuki konsulat Turki di Rotterdam dan diusir keluar dari Belanda.

    Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan melabel Belanda sebagai ‘sisa-sisa peninggalan Nazi’ susulan insiden diplomatik petang kelmarin. Kurang sehari selepas kerajaan Belanda menghalang pesawat Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu mendarat di Rotterdam awal kelmarin, Fatma menyatakan di laman Twitter bahawa beliau telah diusir keluar ke Jerman.

    Terdahulu, Fatma melakukan perjalanan dari Jerman menuju Rotterdam dengan menaiki kereta susulan sekatan penerbangan terhadap Mevlut. Pihak berkuasa Belanda bagaimanapun tidak membenarkan beliau memasuki konsulat Turki di Rotterdam dan memindahkan menteri itu ke sebuah kenderaan lain sebelum diiringi konvoi polis menuju ke Jerman awal semalam.

    Tindakan itu dilakukan bagi menghalang beliau berucap dalam perhimpunan pro-Erdogan di Rotterdam. “Dunia mesti membantah tindakan fasis ini! Perbuatan sebegini terhadap seorang menteri wanita tidak boleh diterima,” kata Fatma.

    Akhbar Turki, Hurriyet melaporkan semalam bahawa menteri berkenaan kemudian menaiki sebuah pesawat peribadi dari bandar Cologne untuk pulang ke Istanbul. Sementara itu, beratus-ratus penunjuk perasaan berhimpun di luar Konsulat Turki petang kelmarin kerana mahu berjumpa dengan menteri itu.

    Polis Belanda menggunakan beberapa ekor anjing dan meriam air untuk menyuraikan mereka. Kerajaan Belanda yang berpotensi kalah kepada parti anti-Islam pimpinan Geert Wilders dalam pilihan raya pada minggu depan menyatakan, lawatan oleh Mevlut dan Fatma tidak dialu-alukan dan Amsterdam tidak akan bekerjasama dengan kempen politik menteri Turki di negara itu.

    Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Turki menutup kedutaan dan konsulat Belanda di Ankara dan Istanbul semalam sebagai membantah tindakan Amsterdam.

    Perang diplomatik antara Belanda dan Turki berlaku ketika Erdogan cuba meraih sokongan imigran Turki yang menetap di Eropah khususnya Jerman dan Belanda bagi memenangi pungutan suara pada bulan depan yang akan memberikan lebih kuasa kepada Presiden.

    Canselor Jerman, Angela Merkel sebelum ini berkata, beliau akan melakukan segala yang terdaya untuk menghalang ketegangan politik di Turki daripada merebak ke Jerman. Empat perhimpunan di Austria dan satu di Switzerland telah dibatalkan berikutan perbalahan antara imigran Turki yang menyokong dan menentang Erdogan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Hubungan Turki-Belanda Tegang Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top