Seorang lelaki warga emas hanya sempat memakai tuala apabila terpaksa lari menyelamatkan diri dalam kebakaran memusnahkan rumahnya di penempatan setinggan atas air berhampiran Kampung Ketiau, Tanjung Dumpil, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian 9 pagi, mangsa Kulat Kasim, 74, sedang mandi di bilik air rumahnya sebelum dikejutkan dengan rasa hangat yang pada mulanya disangkanya disebabkan faktor cuaca panas terik. “Ketika kejadian, saya sedang mandi sebelum berasakan amat hangat di dalam bilik air yang pada mulanya disangka kerana cuaca amat panas pada tengah hari itu.
“Selang beberapa minit kemudian, saya terkejut apabila dinding bilik air tiba-tiba terbakar dan tanpa berlengah, saya mengambil tuala kemudiannya meluru keluar melarikan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut bekas pemandu bas itu, dia sempat memberitahu isterinya yang berada di ruang tamu untuk melarikan diri memandangkan kebakaran berkenaan sudah merebak sehingga bahagian dapur rumah mereka. “Saya hanya sempat mengambil beberapa dokumen seperti kad pengenalan namun terpaksa keluar rumah tanpa memakai sebarang baju dan hanya bertuala saja kerana api semakin marak.
“Syukur saya dan isteri terselamat meskipun sedih melihat rumah yang dihuni sejak 14 tahun lalu, musnah terbakar,” katanya.
Terdahulu, selain daripada kediaman Kulat, kebakaran itu turut memusnahkan enam lagi rumah setinggan atas air namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Akramin Sakirun berkata, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 9.10 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kebakaran untuk operasi memadam.
“Tujuh jentera dengan kekuatan seramai 30 anggota daripada BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu digegaskan ke lokasi sebaik menerima panggilan orang awam. Kebakaran ini membabitkan tujuh buah rumah kayu yang kebanyakan didirikan di atas air dan musnah sama sekali manakala tujuh lagi turut terjejas sebelum berjaya dipadamkan bomba,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran berkenaan berjaya dikawal sepenuhnya jam 10 pagi sementara punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
0 comments:
Post a Comment