My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 13 March 2017

    Dinding Kumpul Habuk, Kulat, Bakteria


    Cuaca yang tidak menentu membuatkan ramai ibu bapa lebih selesa membiarkan anak mereka bermain gajet di dalam rumah tanpa menyedari risiko bakal ditanggung. Ramai juga ibu bapa beranggapan berada di dalam rumah lebih selamat berbanding di luar kerana masalah cuaca seperti jerebu, pencemaran udara dan sebagainya. 

    Namun, pernahkah anda terfikir di dalam rumah juga terdapat risiko perlu ditanggung. Ya, anda pasti terkejut kerana persekitaran dalam kediaman juga mendedahkan potensi risiko kesihatan terhadap kanak-kanak.

    Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia dan Pakar Imunologi Klinikal, Alergi dan Pediatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr Amir Hamzah berkata kanak-kanak kini lebih banyak menghabiskan masa di dalam bangunan, sama ada di rumah atau pusat jagaan.

    “Ibu bapa perlu tahu risiko yang terdapat di dalam bangunan dan memahami cara mengurangkan risiko ini. Alergi boleh berlaku di mana-mana di dalam bangunan.

    “Dinding bangunan, alat mainan malah perabot boleh menjadi punca serangan alergi. Ibu bapa perlu faham jika mengesyaki anak mereka mengalami alergi, mereka perlu menjalani ujian untuk menentukan puncanya bagi memastikan rumah mereka bebas daripada bahan alergi ini,” katanya pada perbincangan meja bulat kempen Wellness for Children di hopsital itu anjuran Nippon Paint Malaysia Group baru-baru ini.

    Menurut beliau, antara tempat ibu bapa sering terlepas pandang ialah bahagian dinding. Dinding biasanya tidak dicuci dengan kerap berbanding permukaan lain seperti lantai. “Keadaan itu menyebabkan habuk, kulat, bakteria serta virus boleh berkumpul. Kanak-kanak berinteraksi dengan dinding itu dan boleh membawa kepada jangkitan dan atau alergi.

    “Ibu bapa perlu peka dengan keadaan ini bagi mengurangkan risiko alergi. Selain bahagian dinding, ibu bapa perlu memberi perhatian kepada keselamatan dan kualiti pelbagai titik sentuhan (touch points) kanak-kanak, seperti puting, barang mainan dan pelbagai perabot di rumah,” katanya.

    Dalam pada itu, Ketua Jabatan Pediatrik Respiratori dan Alahan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Jessie Anne De Bruyne menjelaskan penyakit asma bukan sekadar alahan kepada debunga dan habuk. Ia juga boleh berlaku akibat faktor dalaman seperti hama, bulu binatang, asap rokok, Volatile Organic Compound (VOC) dan juga kulat.

    “Kanak-kanak perlu bermain bagi membangunkan keupayaan mental dan fizikal mereka. Perkara ini sama penting seperti pemakanan harian mereka. Pengurangan penggunaan bahan mengandungi VOC perlu sebagai pendekatan mengelakkan penyakit asma yang boleh membawa maut. Selain itu, jangan campurkan bahan produk sesuka hati kerana ia akan menghasilkan VOC.

    “Ibu bapa perlu memastikan anak mereka mempunyai persekitaran yang selamat untuk bermain. Keperluan untuk persekitaran selamat mungkin lebih diperlukan untuk kanak-kanak yang menghidap asma.

    “Persekitaran yang optimum boleh menyumbang kepada kawalan penyakit asma. Kawal asma anda dan jangan biarkan penyakit itu mengawal hidup anda,” katanya. Tambah Jessie, orang ramai perlu menitikberatkan kebersihan di dalam rumah supaya tidak terdedah jangkitan virus dan alahan. 

    “Ramai beranggapan berada di tempat tertutup seperti di dalam rumah lebih selamat daripada di luar tanpa mengetahui risiko jangkitan kuman sekiranya kebersihan diabaikan. Risiko pencemaran mendorong kepada penyakit asma yang boleh dijangkiti semua peringkat usia.

    Oleh itu, orang ramai perlu peka membersihkan kawasan terdedah dengan hama yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar,” katanya. Dalam pada itu, Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint Malaysia Group, Gladys Goh menjelaskan tinjauan terkini pihaknya mendapati 88 peratus daripada ibu bapa tidak mengetahui dinding boleh menjadi medium menyebarkan virus dan bakteria.

    Tinjauan lain pula mendapati 70 peratus ibu bapa berkata anak mereka menghabiskan masa selama lapan hingga 20 jam sehari bermain di dalam rumah. “Kebanyakan kita adalah ibu bapa dan kita hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Dengan pelbagai maklumat yang disiarkan melalui dalam talian, majalah dan akhbar, bagaimanakah ibu bapa menentukan maklumat mana yang tepat. 

    “Sebenarnya matlamat kami menerusi kempen ‘Wellness for Children’ adalah untuk memperkasakan ibu bapa dengan pengetahuan bagi membuat keputusan yang lebih bijak. Menerusi kerjasama dengan pakar kesihatan terkemuka, kami dapat mewujudkan platform pendidikan yang relevan bagi menjawab soalan-soalan penting daripada ibu bapa hari ini.

    “Bermain adalah aspek penting bagi kanak-kanak kerana ia menjadi asas kepada pembangunan kognitif dan fizikal mereka. Bagaimanapun, laporan terbaru menunjukkan kanak-kanak semakin kurang bermain dan ini membawa kepada tekanan dan stres pada usia yang muda,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Dinding Kumpul Habuk, Kulat, Bakteria Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top