PENGENDALI Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee meramalkan beliau akan berdepan kesukaran untuk ‘merisik’ kekuatan sebenar pasukan bola sepak Korea Utara sebagai persiapan awal bagi aksi pertama Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 pada 8 Jun depan.
Lebih tepat, Kim Swee mengakui terpaksa menggunakan rujukan pita rakaman yang lama memandangkan Korea Utara tidak begitu banyak publisiti ekoran jarang keluar bermain di luar negara.
Begitupun jurulatih kelahiran Melaka berusia 46 tahun itu tetap menyedari kelebihan memihak kepada skuad kendalian Jorn Andersen yang berada dalam kelompok 120 negara berbanding pasukan negara (ke-161) dalam senarai ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Korea Utara berdasarkan ranking, lebih baik berbanding kita. Mereka kurang bermain perlawanan-perlawanan antarabangsa oleh kerana (polisi rakyat Korea Utara) jarang keluar dari negara mereka sendiri. Kekuatan Korea Utara bagi saya amat seimbang. Setanding dengan negara dari Timur Tengah, Korea Selatan dan Jepun.
“Kita tidak boleh mengambil mudah dan kita tahu Korea Utara pernah bermain di Piala Dunia. Apa yang penting kita harus bersiap sedia lebih awal sebelum bermain (kelayakan Piala Asia 2019).
“Kita terpaksa lihat aksi-aksi mereka sebelum ini terutama perlawanan yang dikendalikan jurulatih baharu Korea Utara (Andersen), itulah yang penting dan saya jangkakan tiada banyak perubahan daripada segi sistem mereka akan main,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam sesi latihan Harimau Malaysia di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam semalam.
Media sebelum ini melaporkan, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan perlawanan pertama Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 menemukan Harimau Malaysia dan Korea Utara pada 28 Mac ini sebelum ini tetapi ditunda dan bakal berlangsung dalam kalendar FIFA pada 8 Jun ini.
Dalam perkembangan sama, Kim Swee mahu anak-anak buahnya juga memandang serius pertemuan menentang Filipina dalam aksi persahabatan berstatus ‘A’ di Stadium Memorial Rizal pada 22 Mac ini.
“Perlawanan Korea Utara masih ada tiga bulan. Jadi, yang penting kita perlu ambil serius tentang perlawanan dengan Filipina kerana selepas tiga, empat bulan tidak bermain sebarang perlawanan antarabangsa, sukar untuk menilai semula kekuatan dan kelemahan kita dan paling mustahak kita mahukan kemenangan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment