My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 11 March 2017

    Percubaan Aura White Terbit Filem



    Bukan sahaja dikenali sebagai taikun produk kecantikan, pengasas Aura White Global Sdn. Bhd., Datin Nur Furyna Azmeer kini bergelar penerbit filem apabila menjadi ‘payung’ sebuah karya romantik berjudul Pinjamkan Hatiku. 

    Filem arahan sutradara Osman Ali itu dijadualkan menemui penonton sekitar Ogos tahun ini. Menurut Nur Furyna, filem yang dibintangi tiga pelakon popular iaitu Ayda Jebat, Shaheizy Sam serta Farid Kamil itu bagaimanapun belum mendapat tarikh wajib tayang untuk memasuki pawagam tempatan.

    “Filem ini sudah siap penggambaran. Namun, saya tidak mahu ia bertempur dengan filem-filem hebat khususnya dari Hollywood seperti Star Wars: The Last Jedi dan The Fate of the Furious.

    "Bukan mahu kata filem terbitan saya atau filem Melayu lain tidak mampu bertanding dengan filem besar dari Hollywood, tapi saya yakin filem ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton jika diberikan tarikh tayangan yang sesuai,” kata beliau dalam satu sesi fotografi bersama media ketika ditemui di pejabat urusan Aura White Global baru-baru ini. 

    Tidak risau

    Tambah Nur Furyna lagi, beliau percaya ramai yang akan terpesona dengan kecantikan sinematografi, naratif dan kredibiliti tiga pelakon yang membintangi filem terbitannya itu kelak.

    “Saya boleh berjanji, selepas menonton filem ini anda semua akan keluar panggung dalam keadaan menangis. Selain itu, sinematografi filem ini memang cantik apabila kami menggunakan banyak latar belakang tempat-tempat menarik di Malaysia dan New Zealand,” ujarnya penuh teruja.

    Wanita itu menambah, faktor X dan kelompok peminat yang dimiliki Ayda Jebat pasti akan menarik khalayak hadir ke pawagam. Sementelah, bintang muda itu tidak berseorangan kerana ‘ditemani’ dua orang aktor hebat tanah air iaitu Sam dan Farid yang melengkapkan naskhah Pinjamkan Hatiku. 

    Ditanya sama ada beliau risau dengan penerimaan skeptikal daripada peminat terhadap filem Pinjamkan Hatiku disebabkan promosi besar-besaran produk Aurawhite yang bertindak sebagai penaja, Nur Furyna, 32, tidak merasakan sebegitu.

    “Saya menerbitkan filem ini kerana ingin menyumbang sesuatu kepada industri seni tempatan. Bukan sebab ingin menjual atau melariskan produk saya semata-mata. Kalau ada pun promosi Aurawhite, ia bukan secara berlebih-lebihan.

    “Saya hormat seni. Saya tidak akan rosakkan filem ini hanya kerana keinginan melariskan produk saya. Di Hollywood pun penaja jual produk mereka dalam filem, namun ia bukan dalam bentuk iklan atau kempen berlebihan. Itu yang cuba saya lakukan,” getus Nur Furyna yang turut mendedahkan filem tersebut mempunyai tiga buah lagu runut bunyi.

    Klip video

    Sementara itu, berkongsi tentang sambutan menggalakkan lagu ShakeShakeUolls dendangan Waris dan Ayda Jebat sebagai lagu promosi produk kecantikannya tahun lalu, untuk tahun ini Nur Furyna akan menerbitkan sebuah lagi lagu dan klip video yang berjudul Rugi Kalau Tak Cuba.

    “Klip video ShakeShakeUolls tahun lalu berjaya menghimpunkan lebih sejuta tontonan di Facebook. Jadi, untuk tahun ini saya akan teruskan dengan promosi sama dengan klip video yang baharu.  “Kali ini, konsepnya lebih segar dan ada unsur-unsur K-Pop dengan mengetengahkan Ayda dan Izzue Islam pula. Saya memang percaya dengan impak yang akan ditinggalkan selebriti,” kata beliau.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Percubaan Aura White Terbit Filem Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top