Penduduk di pekan Marudi mengalami kesukaran mendapatkan bekalan minyak petrol dari sebuah stesen minyak di sini sejak 40 hari lalu berikutan kekurangan bekalan bahan api itu. Difahamkan stesen minyak berkenaan terpaksa mengenakan catuan terhadap bekalan bahan api sepanjang tempoh tersebut menyebabkan stesen terbabit kadang-kadang beroperasi, kadang-kadang ditutup.
Menurut sumber, sejak Januari lalu orang ramai sukar mendapatkan bekalan minyak petrol di stesen terbabit kerana disekat memandangkan sekejap beroperasi, sekejap ditutup kerana kekurangan petrol. Tinjauan media ke stesen terbabit pagi semalam mendapati bahawa bekalan minyak petrol habis sepenuhnya jam 8 pagi menyebabkan stesen minyak itu lengang.
Stesen minyak itu merupakan salah satu daripada dua stesen minyak di pekan ini dan beroperasi sejak 2010 serta mempunyai rekod perkhidmatan baik bagi penduduk luar bandar di sini.
Menurut seorang tuai rumah panjang, ketiadaan bekalan minyak petrol di stesen minyak itu menambah kesukaran penduduk lebih-lebih lagi banyak agensi kerajaan menggunakan pengangkutan air dan darat menghantar bantuan serta bekalan makanan ke kawasan-kawasan terjejas banjir di pedalaman.
Kini penduduk di sini hanya tertumpu kepada sebuah lagi stesen minyak untuk mendapatkan bekalan petrol. “Di stesen milik Petronas itu, minyak petrol sudah kehabisan manakala bekalan minyak diesel masih ada dan di stesen minyak milik Shell, diesel pula kehabisan dan penduduk tertumpu ke stesen minyak itu,” jelasnya.
Katanya berbanding minyak diesel, permintaan petrol di kawasan luar bandar seperti Marudi lebih tinggi kerana majoriti kenderaan dan enjin bot sangkut menggunakan minyak petrol selain jentera lain termasuk jana kuasa elektrik.
“Sekarang hanya sebuah sahaja stesen minyak membekalkan petrol manakala satu lagi kehabisan dan kami tidak tahu sampai bila dapat bertahan,” katanya.
Seorang nelayan berasal dari Baram Tengah yang sentiasa membawa hasil tangkapannya untuk dijual di pekan ini, mengakui bahawa penduduk di pedalaman turut terjejas jika bekalan minyak di Marudi kehabisan.
“Ini kerana, sejak perkhidmatan bot ekspres beroperasi dari Marudi ke Long Lama (dan sebaliknya) dihentikan, kebanyakan penduduk menggunakan perahu panjang untuk bergerak. Kalau masalah tidak ada minyak petrol berlaku di Marudi, kami juga pasti menerima kesannya kerana ketiadaan bahan api untuk bergerak dan menjual hasil tangkapan ke pekan ini,” tambahnya.
0 comments:
Post a Comment