My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 13 March 2017

    Hari Gemilang Sukan Negara



    JAGUH perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak berdepan masalah untuk merangkul kejuaraan keempatnya pada Kejohanan Badminton Seluruh England (All England) selepas menewaskan pemain China, Shi Yuqi, 21-12, 21-10 pada aksi final malam tadi.

    Chong Wei yang juga pilihan utama kejohanan menampilkan aksi yang cukup bertenaga biarpun baru pulih daripada kecederaan MCL (Medial Cruciate Ligament) pada lutut kiri, beberapa hari sebelum berangkat ke kejohanan yang berlangsung di Barclaycard Arena, Birmingham itu.

    Yuqi yang menewaskan jaguh dunia, Lin Dan di separuh akhir nyata bukan tandingan Chong Wei apabila terpaksa berdepan serangan bertali arus yang dilancarkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu.

    Chong Wei menggunakan segala kemahiran serta pengalaman yang dimiliki untuk menewaskan Yuqi dan merangkul trofi All England keempatnya selain membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$45,000 (RM200,385).

    Sementara itu, nasib berbeza menimpa beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying apabila terus kempunan untuk merangkul kejuaraan All England pertama selepas kecundang 21-18, 19-21, 16-21 kepada gandingan China, Lu Kai-Huang Yaqiong. Ini adalah final pertama pasangan beregu campuran negara di All England.

    Sementara itu, Malaysia bangkit melakar kemenangan dramatik ke atas China selepas ketinggalan dua gol untuk me­rangkul kejuaraan Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) di Stadium Hoki Maulana Bhasani, Dhaka, Bangladesh semalam.

    Kejayaan itu hadir selepas skuad hoki negara berjaya me­rakam kemenangan 5-3 menerusi penentuan penalti shoot out.

    China, pasukan No.18 dunia, berjaya menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama menerusi pukulan sudut penalti Du Talake dan jaringan padang Su Jun, masing-masing pada minit ke-15 serta 22. Malaysia yang juga pasukan ranking tertinggi kejohanan itu iaitu No. 13 dunia, bangkit merapatkan jurang gol menerusi pukulan sudut penalti Shahril pada minit ke-46.

    Maruah skuad negara terselamat selepas pakar flick, Muhammad Razie Rahim memanfaatkan pukulan sudut penalti lima minit sebelum tamat untuk menyamakan kedudukan 2-2 sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot out.

    ‘Arkitek’ tengah skuad negara, Mohd. Fitri Saari muncul wira selepas menyempurnakan penentuan penalti shoot out terakhir membolehkan Malaysia menang 5-3 ke atas China. Empat lagi gol dalam penentuan penalti shoot out Malaysia disempurnakan oleh Nik Mohd. Aiman Nik Rozemi, Faiz Helmi Jali, Muhammad Marhan Mohd. Jalil dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil. 

    Kejayaan tersebut memboleh­kan Malaysia kini menempah slot ke pusingan kelayakan ter­akhir Piala Dunia 2018 di India iaitu Separuh Akhir WHL di Johannesburg, Afrika Selatan atau London, England pada Jun dan Julai nanti.

    Kejayaan sukan negara dilengkapkan dengan Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David mengakhiri kemarau 15 bulan gelaran dalam Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas muncul juara kejohanan sulung Ciudad de Floridablanca di Colombia kelmarin.

    Nicol yang kali terakhir muncul juara pada Terbuka Hong Kong, Disember 2015, menunjukkan penguasaan gelanggang yang baik untuk menewaskan Olivia Blatchford dari Amerika Syarikat, 11-3, 11-4 dan 11-8 dalam pertarungan selama 70 minit.

    Walaupun perlawanan dihentikan selama 40 minit pada kedudukan 6-6 di set ketiga akibat hujan, ia tidak mampu menyekat Nicol untuk menambah gelarannya dalam jelajah dunia kepada 81. Juara dunia lapan kali itu jelas gembira mengakhiri penantian gelaran selama lebih setahun.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Hari Gemilang Sukan Negara Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top