My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 30 March 2017

    Naskhah Power Rangers Menjual Nostalgia


    APABILA rumah produksi Lionsgate mengumumkan pembikinan semula naskhah adi wira Power Rangers sekitar tiga tahun lalu, rata-rata penggemarnya melahirkan rasa teruja. 

    Pada mereka, suntikan moden pada filem yang diadaptasi daripada siri televisyen Mighty Morphin Power Rangers (1993) itu dapat meletakkan lima watak utama iaitu Jason, Zack, Billy, Trini dan Kimberly sebaris dengan karakter adi wira komersial yang lain.

    Ternyata, keterujaan menantikan buah tangan daripada sutradara Dean Israelite itu berbaloi. Menerusi penceritaan baharu dan pengubahsuaian watak, Power Rangers dihidupkan kembali dalam suasana yang lebih gelap dan dewasa di pekan bernama Angel Grove.

    Seperti filem arahannya sebelum ini iaitu Project Almanac, Israelite menggunakan kelebihan yang ada pada kelima-lima watak tersebut untuk dikembangkan secara perlahan. Sebagai contoh, penonton dihidangkan terlebih dahulu mengenai kisah hidup Jason, Billy dan Kimberly sebelum Trini dan Zack muncul secara kebetulan.

    Penemuan syiling emas menerusi babak pencerobohan di sebuah lombong juga dijalin dengan kemas. Kredit perlu diberikan kepada para pelakon yang menggerakkan lima watak utama iaitu Dacre Montgomery (Jason Scott), Ludi Lin (Zack), RJ Cyler (Billy Cranston), Becky G (Trini) dan Naomi Scott (Kimberly Hart).

    Biarpun masih baharu, namun, masing-masing memberikan persembahan terbaik, terutama pada babak pertarungan tanpa kostum.

    Seteru

    Watak Zordan, yang boleh dianggap sebagai salah satu watak penting dalam penceritaan Power Rangers turut diperkenalkan dengan jelas. Pada lima minit pertama tayangannya, penonton sudah dapat melihat dengan jelas hubungan seteru yang ada pada Zordan dan watak antagonis, Rita Repulsa.

    Bagaimanapun, watak Rita lakonan Elizabeth Banks dilihat kurang konsisten. Banks gagal untuk memberikan satu mood yang sempurna bagi memberikan gambaran kejahatan menerusi watak tersebut. Berbalik kepada perkembangan watak, pengarah dilihat bijak melakar penceritaan pada keseluruhan filem agar ia kelihatan logik pada mata penonton.

    Sebagai contoh, Jason, Zack, Billy, Trini dan Kimberly hanya berjaya mengubah fizikal mereka kepada Power Rangers selepas melalui beberapa sesi latihan dan ujian ketahanan.

    Menerusi babak yang menampilkan pertarungan antara Megazord dan Goldar pula, kelima-lima mereka kelihatan sukar untuk mengendalikan robot bersaiz besar tersebut kerana ia merupakan pengalaman pertama berbuat demikian.

    Biarpun beberapa elemen penting seperti gaya pertukaran Power Rangers tidak dipaparkan, namun, penerbit berjaya menjual nostalgia yang ada pada lima adi wira berwarna merah, hitam, biru, kuning dan merah jambu itu sebagai nilai sentimental buat penonton yang membesar bersama naskhah asalnya.

    Power Rangers mengisahkan tentang lima remaja bernama Jason, Zack, Billy, Trini dan Kimberly yang bertemu secara tidak sengaja dalam satu situasi yang telah ditakdirkan.

    Selepas dimaklumkan oleh Zordan bahawa kuasa Power Rangers kini mengalir dalam badan mereka, lima sahabat itu kemudiannya diberi tanggungjawab untuk menewaskan Rita Repulsa yang merancang untuk memusnahkan bumi bagi merampas kristal Zeo yang ada tertanam di Angel Grove.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Naskhah Power Rangers Menjual Nostalgia Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top