My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 30 March 2017

    Kenangan Manis Bandar Ikan Patin


    Sempena Tahun Melawat Pahang tahun ini, ia masa paling sesuai untuk meneroka keunikan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia itu. Bagi yang belum pernah ke Pahang atau berkira-kira untuk ke negeri itu sama ada bagi tujuan bercuti atau atas urusan lain, daerah Temerloh boleh dijadikan sebagai destinasi persinggahan. 

    Ini kerana, bandar kedua terbesar di Pahang selepas Kuantan itu memiliki pelbagai daya tarikan terutamanya daripada sektor pelancongan. “Bagi orang luar, Temerloh dikenali sebagai daerah pengeluaran ikan patin selain menu ikan patin masak tempoyak yang popular.

    “Selain itu, Temerloh sebenarnya mempunyai pelbagai produk pelancongan yang mampu menjadi daya tarikan kepada pengunjung sama ada pelancong tempatan mahupun luar negara. Malah, pengunjung berpeluang merasai pengalaman menarik dengan melawati beberapa lokasi pelancongan di sekitar bandar ini walaupun hanya dalam tempoh sehari,” kata Rashid Maaruf, 43.

    Dia yang merupakan penduduk jati Temerloh memberitahu, antara lokasi yang kerap menjadi tumpuan pengunjung di daerah itu ialah Pekan Sehari Temerloh yang dikatakan tertua di negeri itu. 

    Malah katanya, pekan sehari yang dibuka pada waktu pagi setiap Ahad di sepanjang Jalan Lurah Semantan yang terletak bersebelahan Sungai Pahang itu memiliki keistimewaan dan keunikan tersendiri berbanding pekan sehari di kawasan lain.

    “Lihatlah sayur-sayuran yang dijual di sini. Kebanyakannya merupakan sayuran kampung yang ditanam sendiri oleh peniaga di kawasan rumah mereka selain sayuran yang merupakan hasil hutan. 
    “Ikan sungai yang dijual pula adalah spesies yang banyak terdapat di Sungai Pahang dan merupakan antara spesies yang paling digemari oleh pengunjung seperti patin sungai, lampam dan kerai. 

    Menyusuri sungai

    “Sebab itulah, ramai yang berkunjung ke pekan sehari ini semata-mata untuk mendapatkan ikan-ikan tersebut kerana ia dijual secara hidup dan baru dikeluarkan dari sangkar,” katanya dengan memberitahu, jumlah peniaga di pekan sehari itu melebihi 700 orang pada satu-satu masa.

    Apa yang diperkatakan oleh Rashid itu turut diakui oleh Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Temerloh (3PT), Datuk Sahariman Hamdan. Beliau berkata, selain pekan sehari, terdapat beberapa lagi produk pelancongan di sekitar bandar Temerloh yang telah disenaraikan oleh persatuan itu sebagai tempat wajib dikunjungi.

    Antaranya, aktiviti menyusuri Sungai Pahang dan Sungai Semantan dengan menaiki bot penambang di jeti yang terletak bersebelahan tapak pekan sehari itu. “Pengunjung boleh menikmati dan menghayati keindahan pinggir bandar Temerloh dari arah sungai selain melihat perkampungan tradisional di sekitarnya.

    “Malah, jika bernasib baik, penumpang bot boleh menyaksikan penduduk kampung menangkap ikan menggunakan jala atau pukat di tepi sungai,” katanya. Beliau menambah, trip menyusuri sungai itu mengambil masa kira-kira sejam dengan kadar tambang bergantung kepada jenis bot yang dinaiki selain jumlah penumpang.

    Jelas Sahariman, satu lagi destinasi yang wajib dikunjungi sekiranya berada di bandar Temerloh ialah Restoran Go’Bang Maju yang menyediakan menu ikan patin masak tempoyak.

    Terletak kira-kira satu kilometer dari jeti bot penambang, restoran berkenaan sememangnya popular dalam kalangan penduduk tempatan selain pengunjung luar yang sanggup singgah di situ semata-mata untuk merasai keenakan masakan berkenaan. “Bandar Temerloh memang terkenal dengan menu ikan patin masak tempoyak dan tidak lengkap kunjungan ke bandar ini jika tidak merasai keenakan masakan tersebut.

    Taman tema air 

    “Disebabkan itu, pihak persatuan telah menyenaraikan Restoran Go’Bang Maju sebagai salah satu lokasi yang perlu dikunjungi oleh pengunjung yang ingin merasai keenakan masakan patin tempoyak Temerloh,” katanya.

    Terletak kurang 500 meter dari restoran itu pula, terdapat sebuah taman tema air yang menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk beriadah bersama keluarga terutama pada hujung minggu.

    Taman Tema Air Kubang Gajah yang dibuka kepada orang ramai sejak Ogos 2014 itu diusahakan oleh seorang anak muda, Mohd. Rafi Ekramuddin, 44, yang berasal dari Felda Jengka 14, Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, tidak jauh dari bandar Temerloh.

    Taman Tema Air Kubang Gajah ini dibuka sejak dua tahun lalu. Ketika ditemui, Mohd. Rafi memberitahu, sebelum ini, penduduk Temerloh terpaksa ke taman tema air di Bukit Gambang Resort City di Kuantan yang terletak kira-kira 100 kilometer dari daerah ini untuk beriadah.

    “Ia memberi saya idea untuk membuka taman tema air di sini. Saya telah membuat permohonan kepada Majlis Perbandaran Temerloh untuk mendapatkan kebenaran. “Alhamdulillah, selepas lebih dua tahun beroperasi, Taman Tema Air Kubang Gajah semakin dikenali dan mula dikunjungi ramai terutamanya pada hujung minggu dan cuti sekolah,” katanya.

    Terbesar 

    Percutian di Temerloh tidak sekadar itu kerana pada sebelah malamnya pula, pengunjung masih boleh merasai denyutan bandar tersebut dengan mengunjungi tapak jualan terus dari but kereta. Dibuka dua kali seminggu iaitu Sabtu dan Ahad, aktiviti itu merupakan yang terbesar di negeri itu yang menempatkan hampir 200 peniaga pada satu-satu masa dengan barangan jualan yang pelbagai.

    “Ia beroperasi sejak November 2014 dengan 34 peniaga sahaja, tetapi kini, jumlah peniaga yang berdaftar telah melebihi 1,000 orang. “Disebabkan jumlah tapak yang diluluskan oleh pihak berkuasa agak terhad selain faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan, kira-kira 150 hingga 200 orang peniaga sahaja berniaga setiap minggu.

    “Walaupun begitu, jumlah pengunjung sangat ramai sehingga ada yang terpaksa meletakkan kenderaan jauh semata-mata untuk menikmati kemeriahan aktiviti jualan di sini,” kata Khairul Najmi Ahmad, 33, yang merupakan penganjur aktiviti jualan itu.

    Kesimpulannya, berkunjung ke bandar Temerloh sememangnya tidak mengecewakan kerana pengalaman yang dikutip pasti berbeza dengan apa yang pernah dialami sebelum ini. Malah, terdapat banyak lagi lokasi pelancongan menarik lain di sekitar daerah ini yang boleh diteroka oleh pengunjung.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kenangan Manis Bandar Ikan Patin Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top