My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 31 March 2017

    Nasib Malang Pemain Liga M



    MALANG sungguh nasib sesetengah pemain bola sepak profesional di negara ini. Mereka mengerah sepenuh tenaga di tengah-tengah padang tetapi imbuhan yang diharapkan tidak kunjung tiba. Walaupun beraksi tanpa gaji gara-gara tertunggak sehingga beberapa bulan daripada majikan masing-masing tetapi mereka tetap berkorban kerana itu satu-satunya punca pencarian mereka. 

    Aduan demi aduan telah dikemukakan kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) tetapi majikan terbabit tetap gagal untuk menyelesaikannya walaupun beberapa amaran telah dikeluarkan. Andai isu seperti ini gagal diselesaikan, ia bakal membantutkan segala usaha untuk memulihkan imej bola sepak negara.

    Malah Presiden PFAM, Hairuddin Omar mendedahkan, pihaknya telah menerima lima laporan berhubung kes pasukan yang masih gagal untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain mereka.

    Jelas Hairuddin, lima laporan itu diterima daripada pemain-pemain yang mewakili pasukan Kelantan, Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kuantan FA dan Sabah dan ia telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

    Hairuddin melahirkan sedikit rasa kesal dengan sikap sesetengah majikan yang masih gagal melunaskan tunggakan gaji tersebut yang mana ada tuntutan daripada lima laporan itu berlarutan sehingga dua tahun.

    Justeru, beliau menyahut seruan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim agar masalah tersebut diberi perhatian serius kerana secara tidak langsung boleh memberikan impak buruk kepada industri bola sepak Malaysia.

    “FAM sebelum ini banyak berlembut dengan majikan-majikan terlibat sehingga ada sesetengah pemain masih gagal menuntut tunggakan gaji mereka sejak dua tahun lalu. Masalah ini boleh membawa suasana yang tidak sihat jika terus dibiarkan berlaku.

    “Presiden FAM, Tunku Ismail telah melaungkan amaran supaya perkara-perkara seperti ini tidak boleh diambil ringan dan kami dalam PFAM akan memastikan masalah seperti ini tidak berlaku lagi. 

    “Saya harap isu tunggakan gaji pemain ini diselesaikan segera oleh pasukan-pasukan terbabit bagi menjaga kebajikan para pemain. Saya juga berharap agar FAM mengambil tindakan tegas kepada pasukan-pasukan yang berdepan masalah seperti ini,” kata Hairuddin semalam.

    Semalam, PFAM menerusi satu kenyataan rasmi berharap Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dapat melaksanakan hukuman pemotongan mata terhadap pasukan yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji para pemain mereka dengan segera.

    Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam sebelum ini mendedahkan bahawa dua pasukan yang beraksi pada Liga Super dan empat pasukan daripada saingan Liga Premier masih belum menyelesaikan tunggakan gaji pemain mereka berjumlah RM5 juta termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahun ini.

    Susulan itu Kevin mendedahkan, pasukan-pasukan tersebut diberikan tempoh sehingga hari ini untuk menyelesaikannya dan sekiranya masih gagal, potongan mata dalam liga akan dilakukan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Nasib Malang Pemain Liga M Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top