Seorang lelaki bernasib baik apabila sempat menyelamatkan diri selepas barangan dapur dalam lori tiga tan dipandunya tiba-tiba terbakar dalam kejadian di Batu 7, Jalan Tuaran, Inanam, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi, mangsa berusia 40-an itu menuju ke pekan Inanam dari Tuaran dengan memandu lori sarat dengan barangan dapur. Menurut saksi dikenali sebagai Afizul Hanzi, 39, ketika kejadian, dia menunggang motosikalnya dan kebetulan berada di belakang lori berkenaan.
“Ketika itu, saya berada di lorong sebelah kiri dan perasan ada benda berasap dari lori di hadapan. Tidak berapa lama kemudian, saya lihat pecikan api keluar dari belakang lori dan saya memberhentikan motosikal di bahu jalan,” katanya. Katanya, dia sempat melihat pemandu terbabit keluar dari lori itu memandangkan api semakin marak.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.56 pagi. Beliau berkata, susulan itu, dua jentera dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan maklumat awal, kejadian ini membabitkan sebuah lori tiga tan yang membawa barangan dapur musnah seratus peratus akibat terbakar,” katanya.
0 comments:
Post a Comment