Lebih 1,500 peminat berkumpul di tujuh pawagam di Lembah Klang untuk memberi sokongan dan bertemu barisan pelakon filem J Revolusi pada hujung minggu lalu. Sesi ramah mesra selama dua hari itu dihadiri pelakon Zul Ariffin, Farid Kamil, Izara Aishah dan Nur Fazura.
Pawagam terpilih untuk acara itu adalah Golden Screen Cinema (GSC) 1Utama, GSC Berjaya Times Square, GSC IOI City Mall Putrajaya, GSC Setia City Mall, MBO Setapak Sentral dan TGV KLCC. Lebih mengujakan, TGV KLCC paling hangat sambutannya apabila 300 peminat membanjiri lokasi itu untuk bertemu artis kesayangan mereka dalam pertemuan Sabtu lalu.
Difahamkan, sambutan luar biasa itu menjadikan panggung tayangan J Revolusi penuh untuk hari berkenaan. Selepas ini, Primeworks Studios bersama barisan pelakon J Revolusi akan meneruskan jelajah ke Kedah dan Pulau Pinang selama dua hari bermula 10 Mac ini.
Penyokong di Singapura juga tidak dilupakan dan malam gala J Revolusi yang turut dihadiri barisan pelakon berlangsung pada 12 Mac ini selepas tayangan perdana pada 10 Mac.
Peminat tonton berulang kali
Mengulas kejayaan J Revolusi, pelakon utamanya, Zul Ariffin memberitahu ada penonton menyaksikan filem terbabit sehingga empat kali. “Ramai memaklumkan terhibur dengan jalan cerita yang diketengahkan sehingga tidak jemu menontonnya berulang kali.
“Ada yang memberitahu pada asalnya menyaksikan J Revolusi semata-mata mahu melihat pelakon kesayangan mereka beraksi namun akhirnya jatuh cinta dengan filem ini,” katanya.
Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 32, berkata, maklum balas positif penonton di media sosial meyakinkan lagi orang ramai untuk menonton J Revolusi. “Kebanyakan penonton menjelaskan antara sebab menyukai J Revolusi adalah babak aksi dan komedinya.
“Bila mereka tengok ada babak lucu, penonton rasa seronok dan teruja,” katanya. Tambah Zul, kehadirannya bersama pelakon J Revolusi di tujuh pawagam berkenaan disambut meriah peminat yang turut membawa ahli keluarga masing-masing.
“Saya berharap rakyat Malaysia tidak berhenti menyokong J Revolusi. Walaupun tayangan di Singapura lambat, saya dimaklumkan peminat di sana sanggup datang ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru untuk menonton filem ini,” katanya.
Kutip RM2 juta
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, J Revolusi terbitan Primeworks Studios dan Infinitus Entertainment mencatatkan kutipan jualan lebih RM2 juta sejak ditayangkan 2 Mac lalu.
“Terima kasih kepada semua penonton di atas sokongan padu anda. Kami amat berbangga dengan pencapaian filem ini dan ramai penonton berpuas hati dengan jalan cerita yang diketengahkan,” katanya.
Menurutnya, filem itu ditayangkan di 120 pawagam di seluruh tanah air dan empat lagi di Brunei. “Pencapaian ini menandakan produksi tanah air sudah mampu menghasilkan filem bertaraf antarabangsa. Banyak ulasan di media sosial memuji kehebatan barisan pelakon,” katanya.
Sementara itu, penonton berpeluang membawa pulang sebuah kereta bernilai lebih RM80,000 dengan hanya menjawab beberapa soalan mudah mengenai J Revolusi di www.jrevolusi.my.
Kereta yang akan dihadiahkan kepada pemenang adalah model sama yang digunakan dalam filem J Revolusi. Pembaca turut dikehendaki memuat naik gambar tiket panggung J Revolusi sebagai bahan bukti dan peraduan tamat pada 16 Mac ini.
0 comments:
Post a Comment