KEPUTUSAN permohonan Malaysia agar perlawanan pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di gelanggang berkecuali akan diketahui dalam masa dua hari lagi.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya yakin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan meluluskan permohonan tersebut selepas kerajaan melarang skuad Harimau Malaysia beraksi di Pyongyang.
Selain itu, beliau berkata, aksi timbal balik antara kedua-dua pasukan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 14 November nanti berkemungkinan turut diadakan di gelanggang berkecuali. “Pagi tadi (semalam) saya menghubungi Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, kita akan mendapat maklum balas dalam masa dua hari lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) 2017 di Bangsar semalam.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dijadualkan menentang Korea Utara pada aksi sulung Kumpulan B pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2019 di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang, 28 Mac ini.
Namun kelmarin, kerajaan Malaysia melarang skuad negara berlepas ke Pyongyang, susulan hubungan tegang kedua-dua negara sejak kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang pada 13 Februari lalu.
Terbaharu, kerajaan Malaysia bertindak balas melarang warga Korea Utara di Malaysia daripada meninggalkan negara ini selepas Korea Utara bertindak menghalang rakyat Malaysia daripada keluar daripada negara berkenaan.
Hamidin berkata, FAM juga telah memberikan beberapa cadangan mengenai gelanggang berkecuali itu, tetapi enggan mengulas lanjut dan menyerahkan keputusan tersebut kepada AFC. “Ia tidak melibatkan urusan pentadbiran dalam FAM.
Dalam hal ini FAM juga tidak membuat protes dan memang bersetuju dengan keputusan kerajaan kerana ia melibatkan isu keselamatan para pemain dan penyokong,” katanya.
0 comments:
Post a Comment