PENGARAH popular, Badaruddin Azmi tidak sabar menantikan sambutan penonton terhadap filem terbaharu arahannya berjudul Kanang Anak Langkau, The Iban Warrior (KALTIW).
Filem tersebut secara terperincinya memaparkan kehidupan wira negara berketurunan Iban, mendiang Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau yang tidak gentar berhadapan dengan musuh meskipun terpaksa mengorbankan nyawa.
Menemui khalayak tanah air bermula hari ini, kisah perjuangan pahlawan kebanggaan Sarawak itu digarap rapi terutama melibatkan babak pertempuran perajurit negara menentang komunis. Sarat dengan babak aksi melibatkan pertempuran antara Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan pengganas selain disuntik dengan elemen emosi agar lebih dramatik.
Bagi Badaruddin yang lebih dikenali dengan nama Bade, menterjemahkan karakter Sarjan Mejar Rejimen kepada 8 Renjer dalam Angkatan Tentera Malaysia itu ke layar perak merupakan satu tugas yang sangat mencabar memandangkan ia diambil daripada kisah benar.
Tugasnya menjadi sukar apabila harus mendalami keperibadian Kanang yang berkhidmat dalam angkatan tentera sejak tahun 1962 hingga 1983 itu secara lebih dekat. “Sayangnya sewaktu mendapatkan skrip filem ini pada akhir Januari 2013 saya tidak berkesempatan untuk bertemu dengan pemilik nama Kanang kerana beliau telah meninggal dunia pada 3 Januari tahun yang sama.
“Jadi, saya berusaha untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat daripada rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat. Saya perlu dapatkan gambaran situasi yang dilalui beliau sewaktu bertempur di medan perang,” jelas Bade.
Meskipun filem tersebut 100 peratus mengisahkan perjuangan Kanang bersama pasukannya, Bade tetap menyuntik elemen drama bagi melengkapkan naskhah tulisan asal Asmira Suhadis itu.
Membuka tirai panggung dengan paparan kehidupan awal bekas tentera berpangkat Pegawai Waran 1 itu sewaktu remaja yang hebat tentang selok-belok kawasan hutan, filem berkenaan menjadi lebih beremosi apabila watak Kanang dilakonkan sendiri anaknya, Langgi Anak Kanang.
Berbangga apabila diberi peluang membawakan karakter bapa sendiri, tiada lain yang diharapkan Langgi agar lakonannya dapat memberi inspirasi kepada penonton. “Menjalani sesi penggambaran filem merupakan momen yang sukar untuk dilupakan.
“Meskipun langsung tidak pernah berlakon, saya berterima kasih kepada pengarah, pelakon serta kru filem kerana banyak memberi tunjuk ajar “Semoga filem ini dapat menyuntik semangat kepada golongan muda untuk terus mempertahankan maruah negara,” jelas Langgi yang turut berkhidmat sebagai anggota tentera berpangkat koperal.
Memperkemaskan jalan cerita, pelakon Johan As’ari, Adi Putra dan Zack X-Factor turut bersama-sama Langgi melakonkan watak sebagai perajurit negara dalam filem berkenaan. Bagi Johan As’ari, 31, dia teruja apabila diberi kepercayaan membawakan watak sebagai Lans Korperal Wan Shapuddin Abu Kassim yang merupakan antara teman rapat Kanang.
Pada masa sama, Johan tidak menafikan kegusarannya menantikan reaksi penonton apabila filem tersebut ditayangkan. “Filem ini berbeza dengan karya yang pernah dilakonkan terlebih dahulu, saya memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan daripada pihak saya,” ujar Johan merendah diri.
Selain dapat mendekati kisah wira negara, antara perkara yang paling diingati Johan tentang KALTIW adalah pengalaman mengayakan uniform tentera selain menggunakan senapang jenis M16 serta menjalani latihan lakonan selama dua minggu sebelum memulakan penggambaran.
“Terlibat dalam filem ini memberi pendedahan kepada saya tentang kejituan semangat pasukan tentera mempertaruhkan nyawa demi memastikan keselamatan negara tidak terancam,” tutur Johan bersungguh-sungguh.
0 comments:
Post a Comment