Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan merogol ibu kandungnya sendiri di rumah mereka pada minggu lalu. Tertuduh yang berusia 21 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol ibunya yang berusia 49 tahun sedangkan perhubungan tersebut tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.
Perbuatan keji itu didakwa dilakukan di rumah keluarganya di sebuah kampung dekat sini pada pukul 7 malam, 8 Mac lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun manakala tertuduh diwakili peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, M. Kathan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 selain menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes. Sehingga petang semalam, tertuduh masih gagal membayar wang ikat jamin berkenaan.
0 comments:
Post a Comment