My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 16 March 2017

    Jangan Kecewa Dengan Keputusan SPM






    HARI ini, 16 Mac 2017 pasti menjadi hari yang mendebarkan bagi semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 kerana keputusan peperiksaan diumumkan oleh Kementerian Pelajaran. Keputusan SPM sememangnya sangat penting kepada pelajar lepasan tingkatan lima kerana ia merupakan tiket besar untuk memasuki institusi pengajian tinggi (IPT). 

    Pelajar yang mencapai keputusan cemerlang mungkin tidak menghadapi masalah untuk memasuki mana-mana IPT kerana pintu sentiasa terbuka luas kepada mereka yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

    Bagi mereka yang memperoleh keputusan kurang cemerlang, anda sebenarnya tidak perlu berasa kecewa, jauh sekali beranggapan peluang sudah tertutup untuk menimba ilmu.

    Peluang juga sentiasa terbuka bagi pelajar yang kurang bernasib baik kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai saluran untuk mereka yang berminat meneruskan pengajian di dalam negara sama ada di universiti, kolej universiti, politeknik atau kolej komuniti.

    Secara umumnya, setiap pelajar mempunyai peluang untuk meneruskan pengajian mereka walaupun prestasi akademik pada peringkat SPM tidak begitu cemerlang, asalkan mereka tidak terlalu memilih untuk memasuki mana-mana IPT.

    Memang tidak dapat dinafikan, ijazah atau sijil yang dikeluarkan sesebuah IPT itu sedikit sebanyak memberi impak kepada peluang pelajar yang terlibat untuk mendapatkan pekerjaan setelah bergraduat.

    Bagaimanapun, pelajar juga perlu tahu dan faham bahawa kelayakan akademik daripada sesebuah IPT bukanlah faktor penentu yang utama untuk membantu seseorang calon mendapatkan pekerjaan yang dipohon.

    Ini disebabkan majikan pada hari ini lebih memberikan penumpuan kepada kemampuan calon-calon yang terlibat untuk mempamerkan kemahiran mereka selain kelayakan akademik seperti yang tercatat di dalam transkrip masing-masing.

    Oleh itu, bagi semua pelajar lepasan SPM, jangan berasa gelisah sekiranya keputusan yang diperoleh tidak begitu cemerlang kerana peluang untuk memasuki pasaran kerja masih terbuka luas dengan mengikuti pengajian di mana-mana IPT di negara ini terutamanya dalam bidang kemahiran. 

    Berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh majikan baru-baru ini, selain daripada pencapaian akademik, terdapat tiga faktor utama yang dinilai semasa menemu duga seseorang calon untuk sebarang pekerjaan yang ditawarkan. Tiga perkara itu ialah sikap, kemahiran berkomunikasi dan menyelesaikan masalah.

    1. Sikap

    Sikap memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan pelajar tetapi ramai dalam kalangan pelajar tidak mengambil kisah mengenainya. Setiap pelajar perlu ingat bahawa sebarang perkara atau tindakan yang diambil pada hari ini akan memberi kesan kepada masa hadapan mereka. 

    Oleh itu, mereka perlu memastikan agar segala peraturan yang ditetapkan oleh IPT masing-masing diikuti walaupun kadang-kadang ia tidak menyebelahi kehendak dan keinginan mereka. Pada masa sama, pelajar juga diingatkan agar tidak memuat naik sebarang komen atau informasi yang bersifat negatif, fitnah atau khabar angin ke dalam akaun media sosial mereka seperti Facebook dan Twitter. 

    Semua perkara ini akan dinilai oleh bakal majikan kerana ia mencerminkan sikap dan personaliti pelajar yang berkenaan.

    2. Kemahiran berkomunikasi

    Prestasi akademik yang cemerlang tidak menjanjikan kehebatan seseorang dalam berkomunikasi kerana ia memerlukan latihan yang berterusan. Pelajar seharusnya mengambil kesempatan semasa melanjutkan pengajian kelak untuk meningkatkan kemahiran komunikasi mereka. Pelbagai cara dan kaedah boleh digunakan untuk mencapai matlamat ini.

    Perbincangan dalam kumpulan, sering bertanya soalan dan berbincang dengan pensyarah selain melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti kokurikulum adalah antara perkara yang boleh dilakukan oleh pelajar. Sekiranya aktiviti ini dapat dilakukan secara berterusan, pasti kemahiran komunikasi pelajar mampu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

    3. Kemahiran menyelesaikan masalah

    IPT merupakan tempat yang sangat strategik untuk membantu pelajar meningkatkan kemahiran mereka dalam menyelesaikan masalah. Ini kerana semasa berada di IPT, pelajar perlu menguruskan aktiviti seharian mereka secara sendiri termasuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

    Pastinya, kemampuan pelajar yang terlibat merujuk kepada pihak yang tertentu merupakan elemen penyelesaian masalah yang diperlukan. Menggunakan media sosial untuk menyuarakan ketidakpuasan hati bukanlah cara yang wajar dilakukan oleh pelajar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

    Malah, melibatkan diri dengan sebarang aktiviti demonstrasi dan bantahan umum juga bukan cara yang sesuai untuk menyelesaikan masalah. Jika perkara sedemikian dilakukan, ia akan memberikan persepsi negatif kepada sikap dan personaliti pelajar itu sendiri.

    Rumusan

    Tidak dapat dinafikan, kelayakan akademik merupakan suatu perkara sangat penting untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Bagaimanapun, kelayakan akademik semata-mata bukanlah penentu utama untuk membolehkan seseorang calon mendapatkan pekerjaan yang dipohon.

    Apa yang diberikan perhatian utama oleh majikan pada hari ini ialah kemahiran yang mampu ditonjolkan oleh calon yang terlibat kepada bakal majikan mereka. Kemampuan calon meyakinkan majikan dalam berkomunikasi dan menyelesaikan masalah akan meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang dipohon.

    Personaliti dan sikap positif calon turut membantu mempengaruhi majikan untuk menerima mereka. Justeru, pesanan saya kepada pelajar lepasan SPM tahun ini, janganlah gelisah dengan keputusan yang diperoleh kerana apa yang lebih penting ialah merancang masa depan agar lebih cemerlang dengan mengambil kira faktor yang menjadi idaman majikan pada hari ini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Jangan Kecewa Dengan Keputusan SPM Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top