Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) bukan satu jenama asing di negara ini. Ditubuhkan pada 1995, syarikat berpangkalan di Gurun, Kedah ini banyak berjasa kepada penduduk berpendapatan rendah memiliki kenderaan sendiri untuk bergerak.
Lihat sahaja model pertama Kriss yang masih kelihatan sehingga hari ini, bahkan Jaguh 175 juga masih gagah membelah jalan raya terutama di Malaysia Timur. Bermula dengan kapcai, easy rider dan skuter, Modenas terus berusaha mengeluarkan jentera dua roda yang berbaloi bagi memenuhi kehendak pasaran.
Terbaru, hasil kerjasama anak syarikat Modenas, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) bersama Kymco, pembuat motosikal terkenal Taiwan, lahir beberapa model baru yang lebih sporty, bergaya dan mampu milik. Perlu diingat, Kymco adalah jenama yang dipercayai dan memiliki kepakaran membina jentera dua roda khususnya skuter.
Ini terbukti apabila BMW Motorrad dan Kawasaki turut menggunakan khidmat mereka untuk menghasilkan model skuter. Bagi Modenas, kelahiran semula skuter Elegan 250 melonjakkan semula namanya dalam pasaran dua roda.
Kesempatan menunggang uji dua model keluaran Modenas termasuk Kymco 250i Downtown dari Glenmarie, Shah Alam ke Bandaraya Melaka membuktikan komitmen tinggi Modenas untuk menguasai semula pasaran motosikal tempatan.
Permulaan perjalanan, penulis berkesempatan merasai pengalaman menunggang Elegan 250 yang disifatkan antara model skuter terbaik untuk dimiliki. Kedudukan kerusi yang empuk dan rendah, cermin penghadang angin yang tinggi selain tujahan kuasa mencukupi, Elegan 250 dilihat tidak bermasalah untuk memecut di lebuh raya.
Meskipun ketika pendikit mula diperah terasa enjin terpaksa bekerja keras untuk menggerakkan jentera seberat 193 kilogram (kg), namun sebaik memperoleh momentum diperlukan, Elegan 250 meluncur dengan tenang. Ternyata enjin suntikan elektronik SOHC empat lejang 250cc sejukan cecair ini beroperasi tanpa masalah.
Dengan kuasa 22.1hp pada 7,000rpm, transmisi automatik CVT ini mampu mencapai kelajuan sehingga 130 kilometer sejam (km/j). Saiz tayar hadapan 120/80-14 manakala roda belakang bersalut tayar 150/70-13 memastikan kawalan lebih jitu manakala padanan brek cakera hadapan 260mm dan 240mm pada roda belakang memastikan daya berhenti yang mencukupi.
Keselesaan ini turut dibantu sistem suspensi teleskopik hadapan dan jenis lengan buai pada roda belakang yang beroperasi cemerlang mengawal keseimbangan jentera. Selain reka bentuknya yang ‘sado’, paparan meter LCD menambahkan lagi gaya ranggi skuter ini. Sebaik tiba di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, penulis menukar jentera lebih kecil iaitu Karisma 125.
Walaupun bersaiz kecil, skuter ini tidak kurang hebatnya apabila mampu ‘mengejar’ abangnya yang ditunggang rakan media lain. Skuter bersaiz kecil ini berkuasa 125cc enjin silinder tunggal dua injap mampu menghamburkan kuasa 9.4hp pada 7,500rpm.
Model ini lebih urban apabila dilengkapi port USB untuk mengecas gajet elektronik seperti telefon bimbit manakala padanan kunci pelbagai guna memudahkan penunggang. Dengan berat kering 113kg, padanan transmisi automatik CVT dengan daya kilas 9Nm pada 5,000rpm tidak mengecewakan.
Saiznya yang kecil memudahkan penulis mencelah antara kenderaan ketika mengharungi kesesakan jalan raya sejurus tiba di Bandaraya Melaka. Sementara itu, ketika majlis makan malam yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abd Kadir, beliau tidak lokek menceritakan perancangan dan hala tuju syarikat motosikal nasional ini.
Paling mencuri perhatian apabila Modenas kini membangunkan enjin sendiri berkuasa 150cc yang memenuhi standard piawaian Euro 4. Enjin rekaan anak tempatan selepas ‘berguru’ di Austria itu kini melalui proses ujian jalan raya untuk menguji ketahanan dan kualitinya.
Pada masa sama, Amirudin turut memaklumkan pihaknya akan melancarkan enam model baru tahun ini selain menetapkan sasaran jualan 50,000 unit. Antara model yang bakal dilancarkan ialah tiga model street bike, dua moped dan satu skuter.
Katanya, ketika awal kemunculan Modenas, syarikat motosikal ini berjaya menguasai pasaran sebanyak 51 peratus sebelum jatuh sehingga lapan peratus tahun lalu dan melalui pengenalan beberapa model baru, pihaknya berharap dapat menguasai pasaran sehingga 12 peratus pada tahun ini.
Pada keesokan harinya, penulis menunggang Kymco 250i Downtown yang disifatkan sebagai kembar kepada Elegan 250. Namun, jentera ini lebih eksklusif apabila didatangkan dengan Sistem Brek Anti-kekunci (ABS) pada roda depan manakala nadi suntikan elektronik DOHC empat lejang 250cc sejukan cecair mampu menghamburkan kuasa maksimum 22.6hp pada 7,750rpm.
Walaupun dibekalkan dengan tangki bahan api sebesar 12.5 liter, suntikan bahan api elektronik menjadikan jentera ini menjimatkan apabila tidak sampai separuh tangki bahan api digunakan untuk tiba ke Glenmarie.
Selepas dua hari menunggang uji, penulis mendapati ketiga-tiga jentera ini mempunyai kelebihan yang tersendiri. Modenas Karisma ditawarkan pada harga asas RM4,980 manakala Elegan 250 dijual pada harga RM12,830 sementara Kymco 250i Downtown pula berharga RM22,790.
INFO
MODENAS KARISMA 125
• Enjin: 125cc empat lejang sejukan udara
• Kuasa: 9.4hp pada 7,500rpm
• Transmisi: Automatik CVT
• Tangki bahan api: 4.6 liter
• Harga: RM4,980 (tanpa insurans)
MODENAS ELEGAN 250
• Enjin: 250cc SOHC empat lejang sejukan cecair
• Kuasa: 22.1hp pada 7,000rpm
• Sistem bahan api: Sistem suntikan bahan api elektronik
• Transmisi: Automatik CVT
• Berat kering: 193kg
• Tangki bahan api: 12.5 liter Harga: RM12,830 (tanpa insurans)
KYMCO 250I DOWNTOWN
• Enjin: 250cc DOHC empat lejang sejukan cecair
• Kuasa: 22.6hp pada 7,750rpm.
• Transmisi: Automatik CVT
• Berat kering: 178kg
• Tangki bahan api: 12.5 liter
• Harga: RM22,790 (tanpa insurans)
0 comments:
Post a Comment