Pemandu sebuah kereta Nissan Almera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Trafik di sini semalam atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan lapan remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah terbunuh.
Tertuduh, Sam Ke Ting, 22, yang bekerja sebagai jurujual hadir ke mahkamah pada pukul 8.45 pagi dengan memakai topeng, berjaket warna merah hati dan berseluar jean hitam diiringi anggota polis. Bagaimanapun, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Salina Omar, Ke Ting mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan minta dibicarakan.
Salina kemudian memerintahkan lesen memandu dan pasport Ke Ting diserahkan kepada mahkamah sehingga kes tersebut selesai. Sepanjang prosiding Ke Ting kelihatan tenang.
Mengikut pertuduhan, Ke Ting sebagai pemandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal di Jalan Lingkaran Dalam pada pukul 3.20 pagi, 18 Februari lalu.
Mangsa yang maut ialah Muhammad Firdauz Danish M. Azahar, 16; Mohammad Azrie Danish Zulkefli, 14; Haizad Kasrin, 16; Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14; Fauzan Halmijah, 13; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimee, 14; Mohamad Azhar Amir, 16; dan Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 17.
Ke Ting didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga 10 tahun serta denda RM5,000 hingga RM20,000 selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tiga tahun, jika sabit kesalahan.
0 comments:
Post a Comment