Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) meraikan kejayaan bersejarah pengeluaran 600,000 unit kenderaan pada majlis yang berlangsung di kilang pemasangannya di Pegoh, di sini, semalam.
Pada majlis itu, Honda Malaysia turut mengumumkan pencapaian jualan 100,000 unit untuk tahun kewangan semasa (1 April 2016 hingga 31 Mac 2017) biarpun dalam keadaan pasaran yang begitu mencabar pada tahun lalu.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Katsuto Hayashi berkata, jumlah pengeluaran itu menunjukkan tahap penerimaan terhadap kenderaan keluaran syarikatnya yang begitu baik disokong oleh pengguna tempatan.
“Selepas 14 tahun beroperasi, Honda Malaysia kini ada dua saluran pengeluaran di Pegoh dengan saluran kedua dibuka pada 2014, sekali gus membolehkan kami berkembang lebih pesat.
“Kami mencapai pengeluaran 300,000 unit dalam tempoh hanya tiga tahun berbanding 11 tahun untuk mencatat pengeluaran dengan jumlah sama sebelum ini,” katanya pada Majlis Meraikan Dua Pencapaian Bersejarah, Pengeluaran Yang ke-600,000 Unit dan Jualan Mencecah 100,000 unit, semalam.
Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif merangkap Pegawai Eksekutif dan Pengarah Wakil Honda Motor Co Ltd, Seiji Kuraishi. Menurutnya, dengan kemudahan pemasangan di Pegoh, Honda Malaysia memiliki keupayaan tambahan untuk memenuhi tempahan pelanggan serta menghasilkan produk terbaik untuk rakyat Malaysia.
Setakat ini, saluran pengeluaran satu dan dua memasang tujuh model kenderaan dimulakan dengan CR-V, City, Civic dan Accord diikuti Jazz, HR-V dan BR-V. “Pencapaian ini (jualan 100,000 unit) menandakan suku pertama tahun ini berjaya dan kukuh buat syarikat yang sememangnya terkenal dengan semangat menyahut cabaran serta menetapkan penanda aras dalam industri,” katanya.
Dilengkapi teknologi canggih, kilang Pegoh dibina dengan kapasiti pengeluaran fleksibel yang mampu menghasilkan pelbagai model pada satu-satu masa bagi memenuhi permintaan pasaran.
0 comments:
Post a Comment