Pengendali Barcelona, Luis Enrique mengakui kehilangan kata-kata selepas menyaksikan ‘magis’ yang dipamerkan oleh barisan pemainnya apabila bangkit menundukkan Paris Saint-Germain (PSG) 6-1 pada aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara di Camp Nou awal pagi semalam.
Keputusan tersebut menyaksikan kelab gergasi Sepanyol itu melangkah ke saingan suku akhir dengan agregat 6-5, sekali gus memberi peluang buat Enrique meraih trofi tersebut buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.
“Saya tidak boleh gambarkan perasaan pasukan kerana perlawanan yang kami harungi semalam boleh diumpamakan seperti menonton filem seram. Kami memulakan saingan dengan terbaik pada awal perlawanan.
“Cuma apabila (Edinson) Cavani menjaringkan gol, ia telah merentap semangat anak-anak buah saya tetapi mereka masih memiliki keyakinan diri yang tinggi. Risiko yang kami ambil berjaya dan ini adalah kemenangan khusus buat penyokong kami yang setia di sini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Enrique turut gembira selepas ramalan melihat pasukannya meledak enam gol sebelum saingan itu menjadi kenyataan. “Saya akui PSG merupakan pasukan yang bagus. Cuma, kami memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri dan keputusan ini adalah sesuatu yang gila. Saya harap penyokong tidak akan melupakan perlawanan ini.
“Sebelum ini, saya hanya sekali terlibat dengan perlawanan gila seperti ini dan ketika itu saya menjadi pemain. Apa yang pasti, pemain saya sudah melupakan trauma di Paris dan saya percaya ini akan jadi titik permulaan kebangkitan kami musim ini,” katanya yang akan meninggalkan Barcelona selepas kontraknya tamat Jun depan.
0 comments:
Post a Comment