Sebenarnya, RUU355 ini adalah hasil daripada bil persendirian oleh Datuk Seri Abdul Hadi dengan tujuan memperkasakan sistem perundangan syarie di negara ini. Kali terakhir undang-undang ini digubal adalah kira-kira lebih 30 tahun yang lalu. Justeru, bil persendirian Datuk Seri Abdul Hadi ini dilihat sudah kena pada masanya.
Jangkaan awal bil persendirian ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk diluluskan oleh Dewan Rakyat, nyata meleset sama sekali. Ini kerana, tidak semena-mena, RUU 355 ini dijadikan modal politik pembangkang serta bukan Islam dan seterusnya menolak sebarang usul untuk membincangkan RUU355 ini.
Amat menghairankan apabila RUU355 yang sepatutnya mudah diluluskan pantas ditentang oleh mereka. Walhal, RUU355 ini bertujuan untuk memperkasakan sistem perundangan syarie di negara ini dan langsung tidak ada kena mengena dengan bukan Islam. Malah kebimbangan kononnya RUU355 ini adalah salah satu hukum hudud nyata tidak berasas sama sekali.
Terbaru, Majlis Tertinggi Barisan Nasional kelmarin memutuskan bahawa BN tidak akan membentangkan sebarang usul membabitkan RUU355. Sebaliknya, BN menyerahkan tugas ini kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkannya. Sebenarnya, ia memang tepat kerana yang mengutarakan usul ini pada asalnya adalah Datuk Seri Abdul Hadi sendiri, bukan dari pihak BN.
Justeru, biarlah Datuk Seri Abdul Hadi menyelesaikan tugasnya terlebih dahulu. Namun begitu, bagi pihak pembangkang, mereka mendakwa keputusan MT BN ini adalah suatu pengkhianatan kepada PAS. Walhal, dalam satu kenyataan dari PAS baru-baru ini, mereka sendiri mahu membentangkan usul ini dan mereka yakin, UMNO selaku parti teras BN akan tetap menyokong usul berkenaan.
Agak menghairankan, kenapa RUU355 ini mudah dijadikan bahan politik murahan oleh segelintir pihak. Adakah hal-hal yang berkaitan dengan agama ini wajar dipersendakan? Adakah mereka tidak kisah dengan pelbagai masalah sosial yang muncul dan sistem perundangan yang lemah? RUU355 bukan isu politik sebaliknya ia adalah isu membabitkan pemerkasaan umat Islam di Malaysia.
0 comments:
Post a Comment