Pemain gitar terkenal Abdul Zamin Abdul Kadir atau Joe, 48, enggan mengesahkan dakwaan Awie samada dia mengundur diri atau disingkir daripada kumpulan Wings. Ditemui pada sidang media bersama kumpulan barunya iaitu Prime Domestic, Joe tidak mahu memanjangkan perkara ini dan meminta peminat menerima kenyataan dirinya tidak lagi bersama Wings.
"Samada saya mengundur diri atau dibuang tak perlulah dipersoalkan dan biarlah menjadi rahsia kami berempat (anggota Wings). Bagaimanapun hubungan kami kekal baik dan saya mengharapkan penyokong Wings menyokong konsert Wings & Superfriends-Belenggu Irama yang akan berlangsung di Istana Budaya tidak lama lagi," katanya.
Pengunduran Joe menyaksikan Wings kini dianggotai Awie sebagai vokalis, Eddie (bass) dan Black (dram). Joe berkata, sudah sampai masa untuk dia meninggalkan Wings dan tidak menyimpan sebarang dendam.
"Saya terima qada dan qadar, tak perlulah toleh ke belakang lagi. Dalam mana-mana kumpulan mesti ada kontroversi. Ini lumrah dunia seni. Mungkin satu hari nanti kami boleh berkolaborasi manakala kemunculan Prime Domestic pula beri saingan sihat kepada kumpulan rock sedia,” katanya.
Berita pengguguran Joe daripada Wings tular di Internet sejak tempatnya digantikan Edrie Hashim dalam konsert Wings yang berlangsung di Melaka hujung tahun lalu. Krisis antara mereka tercetus berikutan dakwaan mengatakan Joe punca kumpulan itu membatalkan Konsert 30 Tahun Wings yang sepatutnya berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember 2016.
Joe menjelaskan Prime Domestic yang turut dianggotai Aweera selaku penyanyi, Hillary Ang (gitar), Fauzi (bass) dan Ainol (drum) pada asalnya projek khas tetapi kini menjadi kumpulan tetap. "Prime Domestic menjadi matlamat utama saya sekarang. Hanya masa dapat menentukan saya akan kembali menyertai Wings tapi saya belum jumpa formula ke arah itu.
"Prima Domestic akan tampil dengan tiga single yang akan dilancarkan serentak dengan persembahan kami di House Restaurant, G Tower, Kuala Lumpur pada 2 April nanti," katanya yang mengharapkan sokongan peminat.
Joe turut mendoakan kejayaan Wings termasuk konsert di Istana Budaya namun tidak bercadang duduk semeja berbincang dalam masa terdekat. "Rasanya tak perlulah berbincang. Bagaimanapun saya okay sekiranya terserempak mereka di mana-mana majlis atau acara," katanya.
0 comments:
Post a Comment