My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 9 March 2017

    Curi: Lima Anggota Geng Halim Ditahan



    Lima anggota kumpulan Geng Halim Dumpil ditahan sepasukan polis selepas dipercayai mencuri komponen elektronik komunikasi stesen pemancar dan bateri lampu isyarat di Jalan Bukit Padang, awal bulan lalu. 

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata kesemua suspek lelaki berumur 18 hingga 49 tahun itu ditahan dalam tujuh siri serbuan di Putatan, Kinarut, Tenom dan Keningau.

    Katanya, maklumat awal kejadian dikesan selepas kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi membuat laporan polis setelah menyedari beberapa pasang komponen pemancar serta bateri hilang ketika menjalankan kerja pemeriksaan pada 3 Mac lalu di Stesen Pemancar Bukit Padang.

    “Bertindak daripada maklumat itu, Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (BJSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu melancarkan tindakan mengesan suspek. Kita menjalankan tujuh pemeriksaan dan serbuan di beberapa kawasan termasuk Putatan, Kinarut, Tenom dan Keningau,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu di sini, kelmarin.

    Turut hadir pada sidang media itu Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra dan Timbalannya Superintendan George Abdul Rakman serta Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek.

    Salehhudin berkata, operasi terbabit berjaya menahan lima lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri bagi membantu siasatan selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

    “Polis turut merampas 27 unit bateri kereta, dua kereta jenis Proton Iswara dan Isuzu D-Max, alat pemotong wayar dan ‘allen key’ yang diubah suai dianggarkan bernilai RM240,000,” katanya. 

    Sementara itu, dalam serbuan kes berasingan, lima lagi suspek ditahan selepas dipercayai melakukan kesalahan sama di Tuaran. Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja Telekom yang menyatakan kabel syarikat itu di Jalan Kauluan Tuaran dipotong dan dicuri kira-kira 200 meter. 

    “Kita berjaya menahan enam lelaki dipercayai anggota Geng Telipok berumur 25 hingga 35 tahun termasuk tiga warga Filipina dan seorang warga Indonesia semasa menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Skim Penempatan Telipok.

    “Polis turut merampas beberapa gulung kulit kabel Telekom, dan dua kereta Proton Exora dan van Nissan Vanette yang dipercayai bernilai hampir RM220,000,” katanya.

    Menurutnya sepasang suami isteri warga tempatan yang juga pemilik premis besi buruk di Jalan Bantayan Inanam turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu. Katanya, polis turut merampas 55 bateri pelbagai jenama serta jenis yang dipercayai diperolehi daripada suspek. 

    Salehhudin berkata pihaknya kini masih menjalankan siasatan lanjut secara terperinci bagi mengetahui jika suspek dalam kedua-dua kes mempunyai kaitan atau sebaliknya. “Kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah dan Akta Dadah Berbahaya 1952 berikutan suspek didapati positif syabu,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Curi: Lima Anggota Geng Halim Ditahan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top