My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 10 March 2017

    Mesej Jelas Dalam Ma' Rosa


    Tidak banyak filem yang berani menampilkan sisi gelap pihak berkuasa. Namun, ia berbeza bagi filem Filipina, Ma’Rosa. Filem berbahasa Tagalog arahan Brillante Mendoza ini memaparkan kisah mengenai seorang pemilik kedai runcit diugut dan dipaksa polis membayar sejumlah wang kepada mereka supaya dia tidak ditangkap atas kesalahan dilakukannya. 

    Pelakonnya, Jaclyn Jose yang membawa watak Ma’Rosa dipilih sebagai pemenang Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Cannes tahun lalu. Filem yang mengangkat kisah kehidupan komuniti miskin di Manila ini turut menjadi antara filem paling menonjol di festival itu.

    Jaclyn berkata, penerapan watak Ma’ Rosa dalam dirinya tidak terlalu sukar memandangkan situasi yang dihadapi Ma’ Rosa bukanlah asing.

    “Situasi dan persekitaran yang menjadi latar dalam filem ini tidak banyak beza dengan drama yang pernah saya lakonkan. Jadi, tidak terlalu sukar untuk saya mengadaptasi diri saya menjadi Ma’ Rosa,” katanya ketika hadir ke Kuala Lumpur mempromosikan filem ini, baru-baru ini. Jaclyn berkata, dia sendiri jatuh hati dengan watak Ma’ Rosa.

    “Ia menjadi inspirasi untuk saya menunjukkan kepada dunia, wujud wanita dan keluarga seperti apa yang dipaparkan dalam filem ini,” katanya.

    Menurutnya, secara tidak langsung mesej yang dipaparkan dalam Ma’ Rosa sangat jelas. Walaupun hanya sebuah filem, ia memberikan impak kepada penonton. “Sedikit sebanyak, kita sebagai anggota masyarakat mampu melakukan sesuatu untuk menghentikan kemiskinan tetapi bukan dengan cara yang tidak betul seperti menjual dadah,” katanya.

    Sementara itu, Brillante berkata, dia memperoleh idea menghasilkan filem berkenaan berdasarkan pengalaman hidupnya. “Saya hasilkan filem ini sejak empat tahun lalu. Ada beberapa sebab filem ini dihasilkan dan salah satunya saya sendiri pernah berada dalam situasi serta komuniti miskin sebegitu.
    “Satu lagi adalah atas dasar tanggungjawab sebagai pembikin filem dan manusia. Saya yakin, kita sebagai anggota masyarakat mampu menjalankan tanggungjawab dengan melakukan sesuatu,” katanya.

    Ditanya mengenai penapisan filem di Filipina, Brillante berkongsi lembaga penapisan filem di negara itu tidaklah setegas di Malaysia. “Memang wujud lembaga penapisan yang bertanggungjawab menapis filem yang dihasilkan di Filipina. Bagaimanapun, ia tidak setegas di Malaysia.

    “Walaupun kami memaparkan kisah gelap di sebalik kerjaya pihak berkuasa, ia tidak akan mendatangkan masalah,” katanya. Memandangkan filem ini turut ditayangkan di Festival Filem Cannes 2016, Brillante sendiri menerima pelbagai reaksi daripada penonton.

    “Namun, ia berbeza berdasarkan latar belakang penonton dan bagaimana mereka menginterpretasikan arah filem ini,” katanya.

    Ma’ Rosa mengisahkan wanita bernama Ma’ Rosa yang memiliki kedai runcit di satu kawasan komuniti miskin. Atas desakan hidup, dia dan suaminya, Nestor turut menjual dadah di kedai mereka memandangkan ia mendapat permintaan penduduk. Namun, tanpa mereka sedari, ada individu yang melaporkan kepada polis menyebabkan Ma’ Rosa dan Nestor ditahan serta diugut.

    Apabila ditangkap, mereka diugut polis supaya membayar sejumlah wang sekiranya mahu dibebaskan. Jika tidak dapat menjelaskan bayaran itu, kedua-duanya akan terus ditahan dan dikenakan hukuman berat.

    Bagi menyelamatkan Ma’ Rosa dan Nestor, tiga anak mereka iaitu Jackson, Erwin dan Raquel berusaha mencari wang dengan meminjam daripada saudara-mara, menjual barangan terpakai, malah terpaksa menggadai maruah diri. Ma’ Rosa bukan saja memaparkan mengenai bahaya dadah, tetapi juga nilai kekeluargaan serta pengorbanan bagi menyelamatkan orang tersayang.

    Selain Jaclyn, Ma’ Rosa turut dibintangi Julio Dias sebagai Nestor, Felix Roco (Jackson), Jomari Angeles (Erwin) dan Andi Eigenmann (Raquel). Di Malaysia, Ma’ Rosa mula ditayangkan di empat pawagam GSC di Mid Valley, Pavilion dan I Utama di Lembah Klang serta Plaza Gurney, Pulau Pinang.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Mesej Jelas Dalam Ma' Rosa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top