Jenayah siber dan penyalahgunaan laman sosial bakal menjadi barah yang mengancam golongan muda terutama pelajar jika tiada usaha membendungnya secara efektif.
Menyedari hakikat itu, syarikat pengendali program kesedaran dan pendidikan Bumiputera, Onemyr Awareness Management (Onemyr) menganjurkan Kempen Kesian Dia: Program Jenayah Siber di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM), FELDA, Sungkai, Perak, baru-baru ini.
Pengisian program membabitkan 400 pelajar itu antaranya ceramah, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), sumbangsaran, simulasi penggunaan laman sosial, ikrar dan ceramah kerjaya yang dikendalikan bekas pelajar MRSM Seremban, Negeri Sembilan, Firdaus Azharudin.
Bertujuan memberi penekanan kepada etika mengendali medium maya, termasuk mengambil gambar, menulis atau menghantar mesej yang kurang sopan, menyebarkan berita yang tidak terbukti kesahihannya atau berunsur fitnah dan mendedahkan maklumat peribadi untuk tatapan umum di laman sosial serta rakan siber yang baru dikenali.
Sesi ceramah program dikendalikan Pengarah Onemyr, Mohd Ridzman Azzahari turut dihadiri Pengarah Urusan Onemyr, Salina Abdullah dan Pengetua MRSM FELDA, Lokman Annas Othman.
Perlu jadi pengguna bijak
Mohd Ridzman, 33, berkata, peningkatan kes jenayah siber mutakhir ini, khususnya membabitkan generasi muda terutama pelajar amat membimbangkan dan seharusnya dikekang dengan memberi ilmu sewajarnya kepada golongan terbabit.
Katanya, kemajuan teknologi seperti Internet, media sosial dan pelbagai aplikasi seperti WhatsApp serta Wechat mendedahkan kita semua kepada ancaman siber dan jika kemudahan ini digunakan dengan cara yang salah maka tanpa kita sedar ia bakal mengundang bahaya .
“Sebagai contoh dengan menggunakan aplikasi untuk berkenalan tanpa sempadan menyebabkan ramai yang terjebak dengan cinta palsu dan ada juga ditipu dengan wang ringgit serta tidak kurang juga terbabit dengan jenayah seksual dan ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam masyarakat hari ini.
“Kita tidak boleh menghalang kemajuan teknologi dan jalan penyelesaian yang terbaik ialah perlu menjadi pengguna bijak dan berhemah kerana penguatkuasaan undang-undang dalam memerangi jenayah siber belum tentu dapat mengatasi masalah ini, maka atas kesedaran itu biar kita mencegah lebih baik daripada mengubatinya sebelum menjadi virus,” katanya.
Semua pihak perlu main peranan
Sementara itu, Pengetua MRSM FELDA, Sungkai, Lokman Annas Othman, 41, berkata penganjuran kempen ini dalam usaha menyelamatkan masyarakat terutama pelajar yang juga aset masa depan negara daripada ancaman teknologi dalam melayari Internet dalam alam siber.
“Masyarakat hari ini memerlukan teknologi dalam kehidupan seharian dan teknologi juga sebenarnya memberi manfaat kepada semua tetapi penggunaannya haruslah dengan tujuan serta tidak disalahgunakan.
“Sebagai guru hanya mampu memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada pelajar agar bijak menggunakan kemudahan teknologi yang disediakan di sekolah dan tanggungjawab ini juga seharusnya dipikul bersama ibu bapa dalam mendidik pelajar agar berhemah menggunakan gajet terutama telefon pintar,” katanya.
Impak negatif dedah maklumat peribadi
Pelajar tingkatan lima MRSM FELDA, Arif Akmal Zainudin, 17, berkata program ini banyak memberi kesedaran mengenai impak yang berlaku jika sering muat turun gambar peribadi atau keluarga dalam laman soasial tanpa memikirkan kesan negatif yang bakal berlaku.
“Pendedahan ini membuat saya takut untuk memuat turun gambar dalam laman sosial yang sebelum ini saya rasakan tindakan itu hanya untuk berkongsi maklumat tetapi gambar itu sebenarnya boleh mengundang bahaya jika digodam oleh penggodam siber untuk tujuan negatif.
“Walaupun kita berasakan gambar dalam laman sosial itu privasi, belum tentu keselamatan aplikasi itu dapat menghalang penggodam siber untuk memecah masuk laman sosial milik peribadi kita sendiri,” katanya.
Pelajar perempuan, Nurul Nadia Erliana Abdullah Sani, 17, berkata sikap segelintir remaja terutama wanita yang suka muat turun status diri dan gambar peribadi dalam laman sosial mendedahkan diri untuk dieksploitasi terutama gambar diri sendiri.
“Program ini memberi panduan kepada saya dan rakan terutama pelajar perempuan yang hendak muat turun gambar peribadi dengan cara betul bagi mengelak gambar itu dieksploitasikan dalam laman sosial.
“Memang bahaya jika tersilap menghantar gambar peribadi atau keluarga kerana ramai tidak menyedari kadangkala status kita di laman sosial menjadi perhatian golongan tertentu cuba mengambil kesempatan,” katanya.
Tanggungjawab sendiri
Pelajar lain, Luqmanul Hakem Ahmad Rizal, 17, pula berkata dunia tanpa sempadan dalam zaman teknologi maklumat sebenarnya memudahkan pelajar mencari maklumat untuk tujuan pembelajaran tetapi sering disalahgunakan dengan melayari laman sosial berunsur negatif.
“Sebagai pelajar perlu memikirkan kesan dan impak pada diri dan keluarga serta negara jika golongan remaja tidak bijak menggunakan kemudahan teknologi ini sebelum melakukan sesuatu yang mengundang serta merosakkan masa depan sendiri.
“Diri sendiri menentukan segala-galanya dan jangan menyalahgunakan kemudahan teknologi disediakan pihak sekolah dan ibu bapa kerana sekali tersilap langkah sukar berpatah balik ke pangkal jalan,” katanya.
Sementara itu, Siti Mardhiah Zainal Abidin, 17, menyifatkan program ini berjaya menyedarkan pelajar mengenai bahaya dunia siber hari ini seandainya tidak bijak menggunakan dengan berhemah dan mengikut undang-undang siber.
Katanya, golongan remaja terutama wanita sering menjadi tumpuan penjenayah siber kerana mudah terpedaya dengan janji manis sehingga sanggup menghantar gambar peribadi dalam keadaan yang mengaibkan dan ada pula sanggup memberi wang dalam cinta maya sedangkan kenalan itu kadangkala belum sahih statusnya yang dimuat turun laman sosial itu.
“Saya berharap rakan terutama pelajar perempuan mulai hari ini berwaspada dengan dunia siber berteknologi tinggi ini supaya tidak terjebak dalam kancah boleh menghancurkan harapan ibu bapa,” katanya.
0 comments:
Post a Comment