Pada bulan April 2015, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) telah melancarkan satu applikasi yang diberi nama MeterOn. Applikasi ini dibina khas untuk memudahkan orang awam khususnya pengguna pengangkutan awam membuat aduan dengan lebih pantas.
Sejak ianya dilancarkan, ianya telah sedikit sebanyak membantu orang awam melaporkan sebarang kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh pemandu pengangkutan awam seperti bas dan juga teksi. Ianya juga sedikit sebanyak mampu mendisiplinkan pemandu pengangkutan awam negara sesuai dengan langkah transformasi yang kini begitu giat dilaksanakan oleh pihak SPAD.
Dalam membicarakan tentang applikasi ini, mungkin cadangan ini boleh dilaksanakan pada masa hadapan. Applikasi MeterOn ini akan lebih berkesan sekiranya dikembangkan lagi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan yang lebih proaktif dan lebih berkesan.
Untuk rujukan, bagi mereka yang tidak tahu bagaimana MeterOn berfungsi, aplikasi pintar itu membolehkan orang ramai memeriksa rekod kesalahan dan aduan lampau terhadap pemandu teksi dengan hanya menggunakan nombor pendaftaran kenderaan mereka.
Bukan sahaja penumpang teksi, pengguna jalan raya lain juga boleh membuat aduan jika melihat pemandu teksi tersebut melakukan kesalahan. Pengadu cuma perlu memberikan maklumat kesalahan seperti masa dan tempat untuk kesalahan memandu secara berbahaya, melanggar lampu merah, tidak menggunakan meter, enggan mengambil penumpang atau lain-lain aduan.
Sebaik sahaja menerima aduan dari orang awam, pusat perkhidmatan SPAD akan menghubungi pengadu dengan segera untuk pengesahan lanjut dan jika cukup bukti, pemandu teksi tersebut akan dikenakan tindakan.
Apa yang perlu dilakukan adalah, muat turun applikasi MeterOn di Google Store di telefon pintar masing-masing. Segala petunjuk untuk menggunakannya, ada disertakan di dalam applikasi ini.
0 comments:
Post a Comment