Malah, pemain No.1 dunia itu sedia menampilkan aksi yang lebih bertenaga pada kejohanan akan datang selepas mengakui mula mendapat rentak dalam aksi kompetitif meskipun baru sahaja pulih daripada kecederaan MCL (Medial Cruciate Ligament).
Walaupun hanya menjalani latihan penuh seminggu sebelum kejohanan bermula, namun Chong Wei tidak menunjukkan sebarang penurunan prestasi apabila mempersembahkan aksi cukup konsisten sehingga membolehkannya menjulang gelaran All England keempatnya.
“Saya sangat gembira kerana saya sudah bekerja keras untuk kembali cergas dan datang beraksi di Birmingham. Bagi saya, ia satu keputusan yang tepat, biarpun saya ada mengalami kecederaan sebelum ini.
“Kecergasan saya semakin meningkat dan saya sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan kejohanan-kejohanan berprofil tinggi, sama seperti yang saya lakukan sebelum ini. Saya cakap saya akan kembali ke All England tahun depan, jadi saya akan sertainya lagi,” ujar Chong Wei.
Kejohanan All England merupakan salah satu kejohanan dalam kalendar pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu dan ia sebagai persediaan menjelang Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland, Ogos depan.
Justeru, Chong Wei sedia memanfaatkan setiap kejohanan yang disertai termasuk All England, Terbuka India, Malaysia dan Indonesia serta Piala Sudirman bagi melihat kemampuannya dalam memburu gelaran juara dunia pertama.
“Setakat ini, saya sudah mula mendapat rentak. Jadi, saya akan cuba paksa diri saya ke tahap maksimum untuk melihat sejauh mana pencapaian saya dalam beberapa kejohanan pada tahun ini,” katanya.
Selepas ini, pemain berusia 35 tahun itu akan pulang ke tanah air dan bakal melakukan persiapan menjelang Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka India yang akan berlangsung pada 28 Mac hingga 2 April depan.
Sementara itu, jurulatih perseorangan lelaki negara, Tey Seu Bock melabelkan kemenangan Chong Wei pada All England sebagai ajaib memandangkan anak buahnya itu hanya menjalani latihan penuh beberapa hari sahaja sebelum berangkat ke Birmingham.
“Mungkin motivasinya meningkat selepas kecederaan tersebut sehingga membangkitkan semangatnya untuk menjuarai All England. Apa yang penting adalah kemahuan dia sendiri untuk mendapatkan gelaran,” kata Seu Bock.
0 comments:
Post a Comment