My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 31 March 2017

    Kompak Tapi Selesa


    Ketika pertama kali melihat model ini secara fizikal pada pameran automotif My Auto Fest 2016, penulis dapat menilai ia mampu merancakkan segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) di negara ini. Jika dibandingkan dengan pesaing paling dekat memiliki ciri pintu gelungsur adalah model Honda Freed itupun sudah agak lama menyepi tanpa kehadiran model baru. 

    Bagaimanapun, Sienta yang diimport sepenuhnya dari kilang Toyota di Indonesia mempunyai kelebihan bukan sahaja reka bentuk luaran tetapi juga dalaman. Aspek yang cukup menarik perhatian penulis adalah kata-kata ucapan pada panel meter digitalnya yang boleh ditetapkan sendiri.

    Misalnya, paparan meter itu boleh mengucapkan ‘Selamat Hari Jadi’ kepada sesiapa sahaja yang memandu kereta ini dengan hanya menetapkan tarikh berkenaan pada bahagian tetapan berdasarkan tiga tarikh pilihan.

    Seronok bukan apabila anda menerima ucapan daripada kereta sendiri. Model ini dibina berasaskan kenderaan penumpang dan pertama kali diperkenalkan dalam tujuh tempat duduk khusus untuk keluarga bandar yang memerlukan kenderaan dengan reka bentuk bergaya.

    Sebanyak dua varian diperkenalkan iaitu Sienta 1.5V dan 1.5G dengan enam pilihan warna iaitu Oren Metalik, Super White II, Perak Metalik, Kelabu Metalik, Attitude Black Mica dan Quartz Brown Metalik.

    Reka bentuk luaran

    Rekaan model ini diasaskan dari kasut treking yang mengambarkan karakter dinamik dan kepelbagaian fungsi. Ia juga direka dengan imej lebih muda dan penampilan luaran yang ceria serta menyeronokkan. Menerusi kemasan hitam pada bahagian bampar hadapan dan belakang, rekaan Sienta tidak membosankan.

    Penampilan hadapannya adalah reka bentuk baru yang dihasilkan jurutera Toyota dan belum pernah ditonjolkan pada mana-mana model yang dijual UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT). Pasangan lampu utama model 1.5V menggunakan teknologi jenis Bi-LED bagi pancaran lampu yang lebih terang dan turut tampil dengan rekaan V dipadankan pada reka bentuk lampu berkenaan.

    Berbeza dengan varian 1.5G, lampu digunakan adalah jenis Halogen. Begitu juga dengan lampu belakang LED berbeza antara varian seperti 1.5V tampil bercirikan V manakala 1.5G hanya jalur lampu biasa. Bagaimanapun, kedua-dua varian model ini memiliki lampu nyalaan siang (LED) di bamper bawah bagi menawarkan tahap kehadiran kereta ini pada waktu siang.

    Kedua-dua varian ini juga dipadankan dengan lampu kabus belakang di tengah bamper untuk digunakan ketika dalam keadaan cuaca yang buruk seperti hujan lebat. Sesuai dengan ciri sebuah kenderaan bandar, badannya kompak (4,235mm panjang, 1,695mm lebar dan 1,695mm tinggi) dan radius pusingan pula adalah 5.7m, menyenangkan pengendalian walaupun di dalam kawasan sempit.

    Anda tidak perlu risau untuk membuat pusingan U dengan satu pusingan penuh sahaja atau meletakkan kenderaan dengan pantas. Bagi model 1.5V ini, ia tambah bergaya dengan rim 16 inci manakala varian 1.5G rim bersaiz 15 inci digunakan dan tayar simpanannya terletak dibawah kerusi baris ketiga yang mudah dikeluarkan tanpa perlu diturunkan ke bawah sebagaimana model Toyota Avanza.

    Selesa untuk tujuh penumpang

    Meskipun reka bentuk agak kompak dan menawarkan keselesaan untuk tujuh penumpang, ruang dalaman Sienta boleh diubah suai mengikut keperluan pemanduan sama ada untuk membawa barangan mahupun penumpang. Terdapat empat pilihan kedudukan kerusi dan apa yang paling menarik kerusi baris ketiga boleh disimpan kemas dibawah kerusi baris kedua.

    Kaedah ini cukup unik kerana kedudukan bahagian belakang boleh menjadi rata sepenuhnya namun mengambil sedikit masa kepada penulis mempelajari dan memahami kaedah bagaimana untuk melipat kerusi baris ketiga ini.

    Bagaimanapun, kelebihan paling ketara penggunaan pintu gelungsur automatik di kiri dan kanan memudahkan pergerakan keluar dan masuk penumpang malah tidak menimbulkan masalah jika kenderaan diparkir dikawasan sempit.

    Suis kawalan pintu gelungsur ini juga boleh dikawal oleh pemandu pada panel dibahagian papan pemuka selain kunci kemasukan pintar bagi varian 1.5V. Bagi varian 1.5G, hanya pintu gelungsur sebelah kiri sahaja dilengkapi ciri automatik.

    Bagi ciri keselamatan apabila secara tiba-tiba ketika pintu ini ditutup, terdapat ciri anti-henti yang memberhentikan pergerakan pintu apabila mengesan sebarang pergerakan. Begitu juga pintu gelungsur kiri tidak boleh dibuka ketika penutup minyak dibuka.

    Meninjau rekabentuk papan pemukanya, walaupun mempunyai rekaan agak unik, ia memberi banyak kegunaan kepada pengguna kerana selain menempatkan butang kawalan, skrin hiburan 6.8 inci dan meter kombinasi Optitron (varian G tiada skrin ini dan meter kombinasi menggunakan jenis back light), ia mempunyai banyak ruang simpanan.

    Pada bahagian penumpang ada tiga tingkat ruang simpanan dan di bahagian pemandu pula lebih kepada ruang-ruang kecil untuk barang seperti kad (Touch n Go), syiling dan telefon. Bagi varian V, tempat duduknya dibalut dengan fabrik berwarna oren, berbeza varian G yang menggunakan warna hitam.

    Tombol gear terletak pada konsol tengah (bawah), menjadikan ia berlainan jika dibanding dengan Sienta pasaran Jepun yang tombol gearnya di atas. Ini adalah bagi menyesuaikannya dengan pilihan transmisi manual yang turut ditawarkan di Indonesia, manakala di Jepun hanya ada transmisi CVT sahaja.

    Sebagai sebuah MPV, tidak lengkap sekiranya sistem pendingin hawa disediakan kepada penumpang belakang. Empat lubang pendingin hawa ini yang terletak dibahagian atas bumbung dalaman sudah dianggap mencukupi dan memberikan keselesaan ketika cuaca panas.

    Bagi varian 1.5V, UMWT turut memadankan sebuah perakam video kamera dibahagian cermin utama yang boleh digunakan ketika berlaku kemalangan atau merekod perjalanan anda ke mana-mana destinasi yang dikehendaki.

    Prestasi

    Sienta dijana dengan enjin baru berkuasa 1.5 liter, empat silinder 16 injap aci sesondol berkembar (DOHC) yang menjimatkan penggunaan bahan api. Sistem Dual VVT-i menghamburkan kuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork 104 Nm pada 4,200 rpm manakala transmisi automatik CVT boleh digunakan sebagai pilihan kepada mod manual tujuh kelajuan.

    Meskipun enjinnya agak ‘kasar’ sedikit apabila pedal minyak ditekan lebih agresif namun, selepas mencapai tahap penukaran gear penuh, model ini mampu melunjur laju tanpa penulis sedari kelajuannya mampu mencecah sehingga 170 kilometer sejam.

    Tahap pengendalian stereng kuasa elektriknya juga stabil ketika berada dalam kelajuan tinggi dan tombol suis kawalan di stereng cukup memudahkan pemandu memberi tumpuan sepenuhnya dijalan raya. Menerusi suis kawalan, pemandu boleh mengetahui tahap penggunaan purata petrol, jarak perbatuan, tetapan cahaya panel dan sebagainya.

    Keselamatan

    Model ini dipadankan dengan tiga beg udara keselamatan iaitu masing-masing satu bagi penumpang hadapan dan pemandu manakala ketiga diletakkan dibawah stereng bagi melindungi lutut pemandu sekiranya berlaku kemalangan.

    Bagi memastikan pemandu mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh dalam keadaan laluan licin, sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan Kawalan Cengkaman (TC) dipadankan dengan bantuan komputer yang berfungsi mengawal keempat-empat tayar kenderaan.

    Sienta juga dilengkapi brek cakera untuk semua roda beserta ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA), Bantuan Mula Mendaki (HAC) serta dua ISOFIX pada tempat duduk barisan kedua.

    Kesimpulannya, model ini sesuai bagi mereka berkeluarga kecil untuk apa jua pemanduan sama ada untuk dibandar ataupun pulang ke kampung halaman kerana ciri MPV kompak ini bukan sahaja memiliki enjin berkuasa tetapi mempunyai pelbagai ciri moden yang padan dengan citarasa masa kini.

    Toyota Sienta 1.5V dijual pada harga RM99,999 iaitu lebih RM7,000 mahal berbanding model Sienta 1.5G, tetapi senarai aksesorinya boleh dianggap berbaloi dimiliki.

    INFO TOYOTA SIENTA 1.5V

    • Enjin: 1.5L, 4 Silinder, 16 injap DOHC dengan Dual VVT-i
    • Kuasa maksimum: 107PS @ 6,000rpm
    • Tork maksimum: 140Nm @ 4,200rpm
    • Transmisi: Automatik 7 kelajuan CVVT
    • Ciri-ciri keselamatan: 3 beg udara, ABS, EBD, HAC dan VSC.
    • Harga: RM99,999 (termasuk GST dan insurans)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kompak Tapi Selesa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top