My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 11 July 2017

    Kareena Kembali Berlakon September Ini



    Selepas melahirkan anak Disember lalu, pelakon jelita Bollywood, Kareena Kapoor bakal kembali ke set penggambaran, September ini. Bagaimanapun, ibu kepada bayi lelaki bernama Taimur Ali Khan yang kini berusia lima bulan itu enggan berkongsi lanjut maklumat mengenai filem baru terbabit. 

    “Filem itu akan menemui penonton tahun depan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kedai jus buah-buahan Juiceco di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Ini kali ketiga Kareena datang ke Malaysia dan kehadiran bintang berusia 36 tahun itu di kedai berkenaan dinantikan lebih 1,000 peminat.

    Menjawab pertanyaan media mengenai pemilihan watak, isteri pelakon Saif Ali Khan ini berkata, dia lebih menekankan jalan cerita sesebuah karya. “Bagi saya kekuatan cerita lebih penting daripada watak. Saya akan baca skrip dulu sebelum bersetuju berlakon,” katanya.

    Berasal dari keluarga yang turut terbabit dalam bidang seni, cucu kepada legenda Bollywood, Raj Kapoor ini berkata, minat berlakon sudah sebati dalam dirinya sejak kecil. “Berlakon adalah minat saya dan bakat ini sudah diwariskan kepada saya sejak dalam rahim ibu. Dari kecil lagi saya sudah tahu akan menceburi bidang lakonan,” katanya yang juga adik Karishma Kapoor.

    Berkongsi pengalamannya menjadi ibu, Kareena berkata, keluarga dan anak kini menjadi keutamaan. “Menjadi ibu pengalaman indah dan menyeronokkan. Selepas 17 tahun aktif dalam bidang seni, saya mahu meluangkan lebih banyak masa bersama anak,” katanya.

    Dalam pada itu, Kareena meluahkan keterujaannya berpeluang kembali ke Malaysia untuk bertemu peminatnya menerusi pelancaran Juiceco. “Saya cinta kamu Malaysia. Setiap kali datang ke negara ini, saya dapat berasakan kasih sayang daripada peminat. Sambutan ini membuatkan saya berasa seperti di rumah sendiri,” katanya.

    Menurut bintang filem Kabhi Khushi Kabhie Gham ini, dia kerap datang ke Malaysia kerana kebanyakan peminatnya di Asia Tenggara. “Saya gembira apabila diundang ke majlis pelancaran Juiceco, mana mungkin saya menolak pelawaan itu. Terima kasih kerana mengundang saya dan berharap dapat kembali ke Malaysia lagi,” katanya.

    Terdahulu pada majlis pelancaran Juiceco, Kareena turut meluangkan masa mengambil gambar kenangan bersama 40 peminat bertuah. Namun, sesi bergambar itu bertukar kecoh selepas seorang peminat wanita bergelut dengan pengawal keselamatan kerana cuba berwefie dengan Kareena. 

    Peminat itu nekad melawan pengawal sehingga telefon bimbitnya dirampas walaupun sebelum itu sudah diingati penganjur wefie dengan Kareena tidak dibenarkan. Suasana bertukar tegang apabila puluhan peminat mula tolak-menolak dan berebut untuk melihat aktres jelita itu dengan lebih dekat. 

    Malah, ada peminat cuba menyelinap masuk ke dalam kedai untuk menghadiri sesi sidang media bersama Kareena. Sementara itu, sebahagian peminat termasuk kanak-kanak dan ibu mengandung sanggup menunggu Kareena di hadapan Juiceco sejak jam 4 petang.

    Dua tahun lalu, Kareena bertandang ke negara ini bagi merasmikan pelancaran sebuah kedai emas di Jalan Masjid India dan kehadirannya menyebabkan kawasan berkenaan sesak dengan pengunjung. Tahun lalu, pelakon itu membintangi dalam dua filem, Ki & Ka dan Udta Punjab.

    Nama Kareena mula menjadi perhatian ramai selepas berlakon dalam filem popular Kabhi Khushi Kabhie Gham pada 2001.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kareena Kembali Berlakon September Ini Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top