• PANAS

    Wednesday, 12 July 2017

    Lapan Sekeluarga Dibunuh Di Krabi



    Sekumpulan lelaki bersenjata menyamar sebagai anggota tentera dan menembak mati lapan orang di wilayah Krabi, selatan Thailand termasuk tiga kanak-kanak, kata polis semalam dalam kes pembunuhan kejam yang disyaki berpunca daripada konflik peribadi. 

    Polis berkata, geng yang terdiri daripada enam atau tujuh lelaki itu memakai seragam kamoflaj. Mereka menyerbu sebuah rumah di Krabi sekitar pukul 4 petang waktu tempatan kelmarin. Lelaki-lelaki bersenjata itu menjadikan 10 orang sebagai tebusan dan menunggu pemilik rumah itu pulang. 

    “Pemilik kediaman itu pulang sekitar pukul 8 malam. Kesemua mangsa kemudian digari dan mata mereka ditutup. Lelaki-lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan pada waktu tengah malam,” kata ketua daerah Ao Luek, Chaiwut Buathong.

    Katanya, enam mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi di hospital. “Tiga mangsa terdiri daripada budak perempuan berumur bawah 15 tahun. Tiga lagi mangsa dibawa ke hospital dengan seorang berada dalam keadaan kritikal,” tambah Chaiwut.

    Timbalan jurucakap polis Thailand, Krissana Pattanacharoen pula memberitahu wartawan bahawa semua mangsa berasal daripada sebuah keluarga Islam. Dalam pada itu, gambar yang dirakam oleh petugas perubatan menunjukkan dua mayat berlumuran darah ditindan di atas sebuah katil kanak-kanak.

    “Kes ini masih disiasat tetapi polis mengesyaki pembunuhan ini berpunca daripada konflik peribadi,” kata ketua polis tempatan, Mejar Jeneral Worawit Panprung.

    Wilayah Krabi popular sebagai destinasi pelancongan kerana mempunyai pantai yang indah seperti Ao Nang dan Rai Lay, namun pembunuhan kelmarin berlaku di kawasan jauh dari lokasi tumpuan pelancong.

    Krabi juga memiliki masyarakat Islam yang ramai dan tinggal di wilayah itu sejak beberapa abad lalu. Mereka bertutur dalam bahasa Thai dan merupakan etnik berbeza daripada orang Islam yang menggunakan Bahasa Melayu di tiga wilayah paling selatan di Thailand.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Lapan Sekeluarga Dibunuh Di Krabi Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top